Maritim Malaysia selamatkan kru kapal dagang cedera di perairan Lumut

Mangsa berjaya dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh dan diserahkan kepada pasukan ambulans untuk rawatan lanjut di hospital. Foto Maritim Malaysia
Mangsa berjaya dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh dan diserahkan kepada pasukan ambulans untuk rawatan lanjut di hospital. Foto Maritim Malaysia
A
A
A

IPOH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menerusi operasi pemindahan perubatan (Medevac) menyelamatkan seorang kru kapal dagang yang cedera selepas terjatuh di kapal kira-kira 3.9 batu nautika barat daya Pulau Dua dekat Lumut, pada Khamis.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.52 pagi memaklumkan kru lelaki warga India berusia 54 tahun itu mengalami kecederaan pada kaki, leher dan muka di kapal MV Artenos akibat terjatuh.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, Bot Perkasa 1223 diatur gerak ke lokasi sebelum mangsa berjaya dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh dan diserahkan kepada pasukan ambulans untuk rawatan lanjut di hospital.

Mohamad Shukri berkata, setiap panggilan kecemasan di laut akan diberikan keutamaan tanpa mengira lokasi atau kewarganegaraan mangsa.

"Kecekapan anggota dan kesiapsiagaan aset membolehkan bantuan disalurkan segera. Keselamatan nyawa di laut sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau turut menasihatkan komuniti maritim supaya segera melaporkan kecemasan melalui talian 999 atau menghubungi Pusat Operasi APMM Perak 05-683 8737 bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil. - Bernama

 

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menyelamatkan seorang kru kapal yang cedera selepas terjatuh di kapal dekat Pulau Dua
  • Kru lelaki warga India berusia 54 tahun mengalami kecederaan pada kaki, leher dan muka
  • Operasi pemindahan perubatan (Medevac) dibantu oleh Bot Perkasa 1223
  • Mangsa dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk rawatan lanjut
  • Setiap panggilan kecemasan di laut diberikan keutamaan tanpa mengira lokasi atau kewarganegaraan mangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!