KPDN Pulau Pinang tumpaskan kegiatan seleweng minyak masak bersubsidi

Jegan (dua dari kiri) menunjukkan minyak masak bersubsidi yang dirampas dalam serbuan di sebuah stor haram di Tasek Gelugor, malam Khamis. Foto KPDN Pulau Pinang
Jegan (dua dari kiri) menunjukkan minyak masak bersubsidi yang dirampas dalam serbuan di sebuah stor haram di Tasek Gelugor, malam Khamis. Foto KPDN Pulau Pinang
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar kegiatan penyelewengan selepas merampas lebih enam tan minyak masak peket bersubsidi bernilai RM49,965 dalam serbuan di sebuah stor di Tasek Gelugor, malam tadi.

Pengarahnya, S Jegan berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 10 malam hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan, sekali gus membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai pekerja sindiket berkenaan.

"Pemeriksaan dalam stor itu menemukan  5,092 kilogram (kg) minyak masak peket satu kilogram, iaitu minyak subsidi,1,500 kg minyak masak dalam tong 'jerry can' berkapasiti 17 kg setiap satu, dan 50 unit kotak kosong minyak peket satu kilogram serta dua tong kosong besar yang digunakan untuk menyimpan minyak masak yang dipindahkan daripada bungkusan asal.

"Turut ditemukan peralatan pemindahan, iaitu corong minyak masak, gunting untuk memotong plastik minyak dan 200 unit tong 'jerry can' yang disyaki digunakan sebagai tadahan minyak masak serta merampas beberapa dokumen berkaitan dengan kesemua rampasan bernilai RM48,965," katanya pada sidang media di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN di Bukit Minyak, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati stor berkenaan dijadikan lokasi pemindahan minyak masak bersubsidi sejak dua bulan lepas, dengan sindiket itu menjalankan kegiatan secara berpindah-randah termasuk menggunakan rumah sewa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Jegan berkata, modus operandi sindiket berkenaan dengan mendapatkan bekalan daripada beberapa pemborong dan peruncit sebelum memindahkannya ke dalam tong besar dan seterusnya diisi ke dalam tong ‘jerry can’ bagi mengubah bentuk asal, khususnya bagi bekalan rangkaian restoran.

Siasatan mendapati sindiket itu menyeleweng hingga enam tan minyak masak bersubsidi setiap minggu atau 24 tan sebulan, dengan keuntungan antara RM50 hingga RM70 bagi setiap tong yang dijual kepada restoran.

Beliau berkata, beberapa serbuan sebelum ini termasuk yang dilakukan hari ini, didapati mempunyai kaitan dengan dalang utama dipercayai individu yang sama, dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Dua lelaki yang ditahan mendakwa menerima upah RM4,000 sebulan, manakala siasatan lanjut mendapati ketua sindiket turut memiliki rangkaian restoran di wilayah utara dan membekalkan minyak masak berkenaan kepada premis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jegan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati stor itu tidak memiliki sebarang lesen atau permit sah untuk menyimpan serta mengendalikan barang kawalan berjadual, dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. - Bernama

 

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Pulau Pinang merampas enam tan minyak masak peket bersubsidi di Tasek Gelugor
  • Dua lelaki disyaki pekerja sindiket ditahan hasil serbuan berdasarkan maklumat awam dan risikan
  • Sindiket tersebut telah menyeleweng hingga enam tan minyak masak bersubsidi setiap minggu atau 24 tan sebulan
  • Modus operandi sindiket melibatkan pembelian daripada pemborong dan peruncit sebelum memindahkan ke tong besar dan 'jerry can' untuk dijual
  • Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana stor berkenaan tidak memiliki lesen atau permit sah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!