Bekas kerani akaun didakwa pecah amanah lebih RM190,000

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas kerani akaun di sebuah firma guaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM192,353.77 milik firma berkenaan.

Shah Helmi Maula Muhamd Sallih, 29, didakwa sebagai kerani akaun sebuah firma guaman, melakukan pecah amanah wang, masing-masing RM75,793.50 dan RM116,560.27 dalam akaun pelanggan firma guaman itu yang telah diamanahkan kepadanya untuk kegunaan tertuduh sendiri.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic, Cawangan Dataran Maybank, Dataran Maybank di sini, antara 18 Ogos 2020 dan 20 Jun 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan tidak melebihi 14 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes dilupuskan selain perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat pada setiap bulan.

Peguam Syed Muhamad Akhyar Syed Hamid, yang mewakili tertuduh berkata pihaknya tidak membantah wang jaminan dan syarat tambahan dimohon oleh pihak pendakwaan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan itu dan membenarkan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan serta menetapkan 27 Nov ini untuk sebutan kes.

Sementara itu, di hadapan Hakim Rozina Ayob, Shah Helmi mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM131,568.10.

Bagi pertuduhan itu, Shah Helmi didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang RM131,568.10 dari akaun milik tertuduh yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di lokasi sama antara 6 Mei 2021 dan 20 Mac 2022.

Artikel Berkaitan:

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

TPR Muhammad Asraf memohon mahkamah mengguna pakai jumlah jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan yang dikenakan terhadap tertuduh bagi kes pecah amanah selain memohon kes di hadapan Hakim Rozina dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah 14 (Hakim Suzana) dan perkara itu tidak dibantah oleh peguam.

Rozina membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengguna pakai jaminan tersebut dan memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Jenayah 14 selain menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes. - Bernama