Rasionalisasi subsidi: Pertimbang keperluan unik Sabah, Sarawak

Junz Wong
Junz Wong
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan keperluan unik bagi Sabah dan Sarawak dan bukan hanya berfokus kepada semenanjung khususnya berhubung keputusan merasionalisasikan subsidi diesel dalam Belanjawan 2024 yang dilihat menimbulkan kebimbangan kepada rakyat Sabah dan Sarawak terutama di kawasan pedalaman.

Ini kerana keperluan bahan api itu merupakan barangan asas dalam kehidupan seharian bagi penduduk di dua negeri itu.

Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Junz Wong berkata, kebanyakan pengguna diesel di negara ini datang dari Sabah dan Sarawak terutama di kawasan pedalaman.

"Keadaan jalan yang mencabar dan sukar menyebabkan penduduk di kawasan ini terpaksa memilih kenderaan pacuan empat roda yang berfungsi dengan diesel.

"Pilihan ini sering dibuat atas dasar keperluan kerana kereta sedan sukar menembusi laluan mencabar dan sekali gus subsidi diesel sebelum ini memainkan peranan penting dalam mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh penduduk," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, harga diesel berada pada RM2.15 per liter dengan subsidi yang besar sebanyak RM1.60 ketika ini.

"Namun, dengan penghapusan subsidi akan datang, harga dijangka melonjak kepada RM3.75 bagi setiap liter.

"Kenaikan harga ini membayang bahawa akan membawa cabaran besar terhadap sara hidup bagi penduduk di Sabah dan Sarawak yang bergantung kepada diesel untuk mobiliti harian dan kerja.

Artikel Berkaitan:

"Bukan hanya pemilik kenderaan pacuan empat yang akan terkesan malah turut mengancam kestabilan ekonomi penduduk kampung dan petani yang bergantung kepada lori dan van untuk aktiviti pertanian.

"Ini pula menambah tekanan terhadap sektor pertanian yang sudah kurang kukuh di kawasan ini. Malah nelayan yang bergantung kepada diesel untuk bot mereka bagi menangkap ikan setiap hari, juga tidak terkecuali dari kesusahan yang akan datang," katanya.

Junz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru berkata, walaupun keputusan kerajaan adalah untuk menghapus subsidi diesel sebagai usaha mengawal ketirisan dan penyeludupan, namun perlu ada pendekatan yang lebih untuk berbincang.

"Menguatkuasakan undang-undang dan memastikan pegawai penguat kuasa memelihara integriti dalam tugas mereka mungkin lebih berkesan dalam menangani masalah ini tanpa menghukum pengguna diesel di Sabah dan Sarawak," katanya.