Belanjawan 2024: Perkasa kedudukan negara, lonjak sektor perniagaan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Berpaksikan kerangka Ekonomi Madani, Kerajaan Perpaduan menyediakan sejumlah RM393.8 bilion bagi Belanjawan 2024 dalam usaha melaraskan semula ekonomi negara ke arah yang lebih kukuh, merancakkan sektor perniagaan, pada masa sama mencapai keseimbangan sokongan fiskal dan perbelanjaan berhemat, meskipun berdepan tantangan global masa kini.

Dengan jangkaan hasil kerajaan yang lebih besar berbanding tahun lepas susulan pungutan cukai yang tinggi, kerajaan sekali lagi membentangkan belanjawan pengembangan dan tertinggi pernah dibentangkan bagi memberi laluan kepada pembinaan negara bangsa, sekali gus melonjakkan Malaysia sebagai antara 30 ekonomi utama dunia.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion atau 19.9 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan tiga kementerian - Kewangan, Pendidikan dan Kesihatan menjadi penerima utama.

"Maka Belanjawan 2024 yang saya ungkap sebagai Belanjawan Madani Kedua menghamparkan tekad dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam memaknai sebuah cetusan nurani bagi mengangkat darjat, harakat ekonomi negara dan rakyat," ujarnya.

Belanjawan dengan tema 'Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat' merupakan belanjawan kali kedua dibentang Anwar, yang juga Menteri Kewangan sejak pembentukan kerajaan Perpaduan pada Nov 2022. Pada Februari tahun ini, Anwar membentangkan Belanjawan yang disemak semula berjumlah RM388.1 bilion.

Sementara itu, daripada RM393.8 bilion yang diperuntukkan pada belanjawan kali ini, beliau berkata, sebanyak RM303.8 bilion atau 77.1 peratus disalurkan kepada perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM90 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan (DE) dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Anwar berkata, Belanjawan 2024 dicerakinkan kepada tiga tumpuan utama iaitu Tatakelola Terbaik Demi Ketangkasan Perkhidmatan, Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak Pertumbuhan dan Peningkatan Darjat Hidup Rakyat.

Beliau berkata, peningkatan subsidi tahun 2023 ditampung melalui penjimatan perbelanjaan lain dan penambahan hasil. Bagi tahun 2023, anggaran hasil yang disemak semula ialah RM303.2 bilion berbanding RM291.5 bilion.

Artikel Berkaitan:

Jumlah defisit pula diunjur 5.0 peratus kepada KDNK sebagaimana ditetapkan.

"Bagi tahun hadapan kerajaan menjangkakan pertumbuhan KDNK antara 4 - 5 peratus dan dengan pembaharuan Ekonomi MADANI yang bakal dilaksanakan, kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan menghampiri 5.0 peratus," katanya.

Menurut Anwar, kutipan hasil kerajaan pada tahun 2024 dijangka menyaksikan peningkatan daripada RM303.2 bilion tahun ini kepada RM307.6 bilion manakala defisit fiskal tahun 2024 diunjur turun kepada 4.3 peratus berbanding sasaran 5.0 peratus tahun ini dan 5.6 peratus tahun 2022.

Tambahnya, dalam jangka sederhana, Malaysia akan mencapai defisit fiskal 3.0 peratus atau lebih rendah kepada KDNK seperti mana penanda aras ditetapkan dalam kerangka Ekonomi Madani.

Mengenai cukai, Anwar berkata, hasil cukai yang dipungut kerajaan adalah antara yang terendah di ASEAN iaitu hanya 11.8 peratus kepada KDNK berbanding Singapura (12.6 peratus) dan Thailand (16.4 peratus).

Sehubungan itu, mulai tahun hadapan, beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan bagi meluaskan asas hasil negara, pada masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat, katanya.

"Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8.0 peratus berbanding 6.0 peratus. Kerajaan juga akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (CKM) bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024,” kata Perdana Menteri.

Selain itu, kerajaan turut mempertimbangkan pengecualian CKM ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti tawaran awam permulaan (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat ditetapkan, tambah beliau.

Seterusnya, Anwar berkata, kerajaan juga akan menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan Cukai Barangan Bernilai Tinggi pada kadar 5 - 10 peratus ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan.

Selain itu, kerajaan dijangka melaksanakan cukai minimum global pada tahun 2025 dan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta Euro.

"Kerajaan bersetuju menguatkuasakan e-invois secara mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta mulai 1 Ogos 2024," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, sebagai usaha menyusun semula kerangka ekonomi, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang diperkenalkan kerajaan tahun ini menyasarkan jumlah pelaburan keseluruhan sehingga RM95 bilion.

Untuk ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan sehingga 10 peratus daripada jumlah pelaburan NIMP sebagai pemangkin untuk memacu misi pelan berkenaan.

Bagi memperkasakan sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi (High Growth High Value-HGHV) pula, kerajaan memperkenalkan pendekatan insentif menggunakan sistem tiering dalam pemberian insentif.

"Sebagai permulaan, kerajaan bercadang memberikan galakan cukai pelaburan semula secara tiering dalam bentuk elaun cukai pelaburan sebanyak 70 peratus atau 100 peratus," jelasnya.

Sementara itu, Anwar berkata, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Kerajaan (GLIC) menyediakan dana sehingga RM1.5 bilion untuk menggalakkan syarikat pemula termasuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera menceburi bidang HGHV seperti ekonomi digital, teknologi angkasa serta elektrik dan elektronik (E&E) dalam usaha mengantarabangsakan syarikat pemula tempatan dan meningkatkan daya saing mereka bagi menembusi pasaran serantau.

Beliau menambah, kemudahan pinjaman perniagaan turut diberikan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pinjaman dan jaminan pembiayaan yang tersedia berjumlah sehingga RM44 bilion.

Sebagai usaha menyemarakkan sektor perladangan dan komoditi pula, kerajaan turut menyediakan RM2.4 bilion kepada FELDA, FELCRA dan RISDA untuk terus merancakkan aktiviti agrikomoditi dan meningkatkan sosioekonomi pekebun kecil.

Kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta.

Bagi menjayakan hasrat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), kerajaan menyediakan Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2 bilion.

Anwar berkata, kerajaan turut mengalu-alukan pelaburan melebihi RM170 juta oleh syarikat terkemuka seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Gentari dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV).

"Kerajaan bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas perbelanjaan kemudahan pengecasan EV untuk tempoh empat tahun dan potongan cukai bagi kos sewaan EV untuk tempoh dua tahun lagi," tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata, proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan jajaran 366 kilometer melibatkan kos RM15.7 bilion akan diselesaikan November ini manakala Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dengan jajaran lebih 320 kilometer melibatkan kos hampir RM7.4 bilion juga mula dilaksanakan pada hujung tahun ini.

"Mengambil kira keperluan peningkatan kenderaan, projek pelebaran Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam dengan kos RM931 juta," katanya.

Katanya, kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dibatalkan sebelum ini iaitu Stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik dengan kos sebanyak RM4.7 bilion.

Sebelum mengakhiri pembentangannya, Anwar berkata negara harus dikembalikan ke landasannya bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat diberhasilkan.

Tegasnya, belanjawan ini merupakan suatu pernyataan iltizam kerajaan bagi memulihkan ekonomi dalam dunia sekarang ini yang serba mencabar. - Bernama