Firma guaman mohon kebenaran 1MDB serah dokumen kepada SPRM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) memohon persetujuan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mendedahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa dokumen berkaitan perjanjian penyelesaian berkaitan Goldman Sachs dan AmBank.

Rakan kongsi firma guaman itu, Palpanaban Devarajoo berkata demikian dalam afidavit balasnya yang difailkan semalam bagi permohonan SPRM itu di Mahkamah Tinggi yang meminta syarikat berkenaan mengemukakan dokumen berhubung penyelesaian tersebut.

"Firma telah menulis surat kepada bekas pelanggan kami, 1MDB pada 16 Oktober bagi mendapatkan kebenaran dan kuasanya untuk mendedahkan dokumen sulit berkaitan dengan permohonan sekarang,” kata peguam itu, sambil menambah bahawa firma tersebut telah diberikan salinan tindakan undang-undang SPRM kira-kira jam 2.50 petang 13 Oktober lepas.

"Firma akan memfailkan maklum balas substantifnya kepada permohonan itu dalam masa terdekat selepas peguam (dikekalkan oleh firma guaman untuk perkara ini) mempunyai peluang untuk menasihati kami,” katanya.

Beliau membacakan bahagian afidavit itu semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy, yang kemudiannya menetapkan 9 November untuk sebutan.

Semalam, SPRM memohon untuk mendapatkan dokumen daripada dua peguam yang disyaki menerima rasuah dan menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang dalam penyelesaian antara kerajaan Malaysia dengan Ambank dan Goldman Sachs berhubung isu 1MDB.

Permohonan itu dibuat dalam dua permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 11 Oktober lepas.

SPRM menamakan Chetan Jethwani dan firma guamannya, Chetan Jethwani & Co, sebagai responden dalam satu permohonan, manakala Rosli Dahlan dan Rosli Dahlan Saravana Partnership dinamakan sebagai responden dalam permohonan lain.

Artikel Berkaitan:

SPRM memohon responden mengemukakan 10 dokumen, termasuk surat pelantikan mereka sebagai peguam untuk Goldman Sachs (Chetan) dan 1MDB (Rosli), penyata akaun bank mereka dan penyata akaun bank syarikat mereka.

Menurut SPRM, dokumen itu diperlukan untuk mengenal pasti peranan dan tindakan kedua-dua peguam itu dalam melaksanakan skim yang mengurangkan jumlah pemulihan aset dalam penyelesaian ke atas jumlah yang perlu dibayar kepada kerajaan Malaysia. - Bernama