LRA Bukit Tampoi pula henti operasi

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Abdul Halem Mat som)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Abdul Halem Mat som)
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberhentian operasi sebuah lagi Loji Rawatan Air (LRA) yang menerima sumber bekalan mentah dari Sungai Semenyih menyebabkan pertambahan 336,930 akaun pengguna kini terjejas dengan gangguan bekalan air.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat som berkata, henti tugas LRA Bukit Tampoi itu terpaksa dilaksanakan petang semalam yang mengakibatkan kini kawasan terjejas bertambah kepada 366 kawasan.

"LRA Bukit Tampoi yang juga menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas pada jam 3.30 petang semalam. Henti tugas dua loji menyebabkan penambahan pengguna yang terjejas mengalami gangguan bekalan air.

"Sehingga jam 8.30 pagi tadi, Indah Water Konsortium (IWK) dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) masih giat menjalankan kerja pembersihan lurang kumbahan berhampiran Loji Rawatan Kumbahan (LRK) yang menjadi 'effluent' menyebabkan pencemaran bau disedut keluar," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja pendosan 'activated carbon' juga dilaksanakan bagi mengurangkan kesan pencemaran bau di Sungai Semenyih.

"Sehingga jam 6.30 pagi ini pencemaran bau berada di paras 3 ton. Oleh itu, LRA Sungai Semenyih masih belum boleh beroperasi sehingga bacaan mencapai paras 0 ton iaitu tiada langsung kesan pencemaran bau.

"Kami menjangkakan tempoh masa pemulihan gangguan bekalan ini akan mengambil sedikit masa namun segala tindakan perlu sedang dilakukan bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan selepas loji kembali beroperasi.

"Ini termasuk menyediakan bantuan bagi mengurangkan kesulitan pengguna berikutan insiden ini dan kerjasama pengguna berhadapan situasi ini amatlah dihargai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bantuan bekalan air kecemasan terus dipergiatkan dan lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan termasuk hospital.

"Selain itu, 11 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili-pili awam masih meneruskan operasi 24 jam, malah Air Selangor akan memaklumkan perkembangan menerusi semua medium terutama media masa.

"Pengguna boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor atau laman sesawang www.airselangor.com untuk mendapatkan maklumat yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan sebanyak 328,957 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: PKS bekalkan bantuan air kecemasan

Henti tugas LRA Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah sejak pagi Jumaat lalu menyebabkan 348 kawasan yang menerima sumber bekalan air terawat dari loji berkenaan terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual dan berskala besar.

Senarai kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan LRA Bukit Tampoi:

1. Wilayah Kuala Langat

2. Kampung Bukit Changgang

3. Kilang ISF, Dengkil

4. Taman Arked

5. Kampung Labohan Dagang

6. Kompleks Perabot Olak Lempit

7. Taman Changgang Jaya

8. Kampung Olak Lempit

9. Pusat Serenti

10. Taman Seri Dagang

11. Kampung Orang Asli Bkt Bakong, Bkt Tampoi

12. RRM Bkt Changgang

13. Taman Seri Manggis

14. Kampung Selangor Dredging

15. Telok Datok

16. Taman Seri Telok Datok

17. Kampung Sungai Manggis

18. Taman Ambar

19. Taman Topaz