Ancaman bom dipercayai dilakukan lelaki warga asing

Raub
Raub
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Polis mengesahkan pihak pengurusan sebuah pusat beli-belah di sini, menerima panggilan ancaman bom daripada seorang lelaki dipercayai warga asing pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihak pengurusan pusat beli-belah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis pada jam 6.10 petang.

Katanya, sejurus menerima panggilan tersebut, seramai 12 pegawai kanan dan 60 anggota polis, dua unit anjing pengesan (K9), tiga jentera bomba melibatkan seorang pegawai dan 23 anggota bergerak ke lokasi.

"Pihak pengurusan pusat beli-belah menyatakan menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mengaku dari luar negara mendakwa telah meletakkan bom di premis tersebut.

"Pemanggil juga meminta untuk tidak menyokong Palestin," katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata, pihak polis melaksanakan tindakan dan kerja-kerja pengesanan bom pada jam 6 petang dan meminta supaya supaya pusat beli-belah berkenaan dikosongkan.

"Sehingga jam 9 malam tadi, keadaan disahkan selamat apabila tidak menemui benda-benda ganjil dan pada 9.15 malam, polis benarkan pengunjung tinggalkan pusat beli-belah berkenaan," katanya.

Difahamkan, terdapat kira-kira 9,000 pengunjung di pusat beli-belah berkenaan ketika pihak pengurusan menerima panggilan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Raub berkata, setakat jam 11 malam, kawasan pusat beli belah berkenaan disahkan selamat manakala kawasan hotel berhampiran disahkan 90 peratus selamat daripada ancaman bom tersebut.

"Kita juga akan berbincang dengan pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut sebelum membenarkannya beroperasi seperti biasa esok (Ahad)," katanya.