Ancaman bom: Polis sahkan pusat beli-belah selamat

Pengunjung berkumpul di luar bangunan pusat beli-belah berkenaan.
Pengunjung berkumpul di luar bangunan pusat beli-belah berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Polis Johor mengesahkan kawasan pusat beli-belah yang menerima panggilan ancaman bom daripada seorang lelaki dipercayai warga asing pada Sabtu boleh beroperasi seperti biasa.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, sehingga jam 11.30 malam Sabtu, keseluruhan kawasan bangunan pusat beli-belah dan hotel telah diperiksa oleh unit pemusnah bom dan unit anjing pengesan (K9).

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang objek mencurigakan di kawasan terbabit dan mengesahkan ia selamat untuk beroperasi seperti biasa.

"Pada 14 Oktober 2023 (Sabtu) jam lebih kurang 6.10 petang, polis menerima satu panggilan telefon daripada pengurusan pusat beli belah tersebut mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki dipercayai warganegara asing yang menyatakan telah meletakkan bom di sekitar kawasan itu dan hotel.

"Bertindak di atas maklumat tersebut pada jam 6.15 petang, seramai 92 orang pegawai kanan dan anggota polis termasuk dua unit K9 dengan dibantu tiga pegawai dan 20 anggota bomba ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

"Setakat ini kawasan ini selamat dan boleh beroperasi seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Difahamkan, ribuan pengunjung termasuk kakitangan pusat beli-belah berkenaan diarahkan meninggalkan lokasi sekitar jam 6.30 petang pada Sabtu selepas pihak pengurusan menerima panggilan mengenai ancaman bom.

Walaupun tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan namun pihak polis masih lagi berada di lokasi kejadian bagi memantau serta menjalankan pemerhatian lanjut dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Artikel Berkaitan:

Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.

Sebelum itu, ribuan pengunjung dan kakitangan sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini berdepan detik cemas apabila diarahkan meninggalkan pusat beli-belah berkenaan susulan menerima ancaman bom dalam kejadian petang Sabtu.

Tular beberapa hantaran video di media sosial situasi pengunjung masing-masing kelihatan panik berlari keluar mengosongkan bangunan berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Mastura, 35, berkata, ketika kejadian dia sedang beratur untuk membayar pakaian yang dibelinya. Bagaimanapun katanya, apabila diminta untuk segera meninggalkan pusat beli-belah berkenaan, dia akur dan meletakkan pakaian yang mahu dibelinya itu di kaunter bayaran.

"Masa tu saya tengah beratur nak bayar pakaian yang saya beli, tapi tiba-tiba ada pengumuman daripada guard (pengawal keselamatan) minta semua orang keluar.

"Saya pun terus letak barang saya nak beli tu kat kaunter dan ikut orang lain keluar," katanya ketika ditemui di pekarangan parkir pusat beli-belah berkenaan.

Seorang kakitangan pusat beli-belah itu yang hanya mahu dikenali sebagai Zaki, 29, pula berkata, dia sendiri tidak pasti mengapa diarahkan keluar.

"Masa disuruh keluar tu saya sedang menguruskan pembelian dengan pelanggan, tapi bila dah disuruh keluar, saya pun terus keluar," katanya.