Kerajaan peruntuk RM1.9 bilion pembangunan hal ehwal Islam

Anwar (tengah) membawa beg dokumen berisi teks ucapan Pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani ketika tiba di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Anwar (tengah) membawa beg dokumen berisi teks ucapan Pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani ketika tiba di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ia termasuk pembinaan dua institusi pendidikan Islam iaitu Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Bukit Jalil dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol di Negeri Sembilan dengan kos RM220 juta.

Beliau berkata, sejumlah RM150 juta turut disediakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz.

"Insya-ALLAHpenganjuran majlis ilmu oleh tokoh dan ilmuan Islam di seluruh negara khususnya di Kompleks Seri Perdana akan diteruskan dan diperbanyak bagi meningkatkan kefahaman dan penghayatan ilmu agama kepada umat Islam,” katanya ketika membentangkan belanjawan bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ itu di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi menghargai jasa dan peranan besar lebih 70,000 guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut di peringkat komuniti, Anwar berkata kerajaan bersetuju memberi sumbangan khas yang ditambah menjadi RM700 terus kepada mereka, dengan peruntukan lebih RM50 juta.

Selain itu, Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah Jakim.

"Sejak 2003, kerajaan ketika itu telah memberhentikan bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat atas alasan pendekatan pengajaran Islam yang tidak berada di landasan yang betul.

"Justeru pemberian semula geran bantuan ini diharap dapat menyokong fungsi sekolah Agama Rakyat dalam melahirkan generasi baharu Islam yang seimbang ilmu duniawi dan ukhrawi mereka,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: