MYAirline: Mavcom, pihak agensi berkaitan perlu masuk campur

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Foto kecil: Nik Justin
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Foto kecil: Nik Justin
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline menghentikan operasinya secara mengejut pada hari ini menyebabkan harga tiket meningkat dua hingga tiga kali ganda pada hari tersebut.

Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin yang juga antara penumpang terkandas akibat insiden itu berkata, ramai yang terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit semata-mata demi membeli tiket pada hari berkenaan.

Ujar beliau, meskipun terdapat syarikat penerbangan yang tampil menawarkan inisiatif promosi kepada mereka yang terjejas, namun ada penumpang ketinggalan kerana telah membeli tiket lebih awal daripada tempoh pengumuman tersebut.

“Semalam (Rabu) kalau tiket penerbangan mungkin berharga dari RM100 ke RM300, tetapi pagi tadi selepas pengumuman MYAirline, harga tiket yang sama melambung kepada RM500 ke RM700.

“Kejadian MYAirline dihentikan operasi itu menyebabkan berlaku pembelian tiket secara panik sebab ada perlu beli tiket cepat kerana ada yang mempunyai perancangan seperti urusan penting kerja, belajar dan sebagainya.

“Saya pun sama, saya beli tiket RM1,300 sebelum mereka umumkan (tawaran diskaun). Selepas pengumuman baru harga tiket jadi RM688, tetapi bila saya minta diskaun, mereka tidak bagi kerana saya beli tiket sebelum tempoh pengumuman,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

MYAirline dalam kenyataan mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa 12 Oktober 2023 sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurut syarikat itu, tekanan kewangan menjadi punca keputusan tersebut terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ulas Nik Justin, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) atau pihak agensi yang terlibat perlu masuk campur dalam isu berkenaan bagi membantu penumpang MYAirline yang terkesan.

“MYAirline harus bertanggungjawab dan mohon cepat bertindak balas atas kejadian ini. Begitu juga dengan Mavcom dan pihak agensi, mesti masuk campur serta-merta sebab isu ini telah mengakibatkan kesusahan kepada ramai penumpang,” menurutnya.

Jelasnya, beliau menghabiskan wang sebanyak RM1,924 untuk membeli tiket penerbangan dari Langkawi ke KLIA.

“Sudah tentu saya berterima kasih kepada syarikat-syarikat penerbangan lain yang sudi membantu, tetapi adalah lebih membantu jika tawaran diskaun itu diberikan secara sama rata,” ujarnya.