MYAirline sedang pertimbang semua langkah untuk beroperasi semula

 MYAirline menjelaskan akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perkembangan terkini.
MYAirline menjelaskan akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perkembangan terkini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan tambang rendah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) yang bertindak menggantung operasinya berkuatkuasa hari ini, sedang 'meninjau semua langkah untuk membolehkannya kembali beroperasi dan menyambung semula khidmat penerbangan.'

Sehubungan itu, dalam kenyataannya petang ini, MYAirline menjelaskan akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perkembangan terkini.

"Kami dengan hormatnya meminta semua pihak berkepentingan untuk bersabar ketika kami terus meneliti semua pilihan yang ada.

"(Pada masa sama) kami juga sedia maklum terhadap rasa marah dan kekecewaan para pelanggan serta pihak terjejas dan MYAirline mengakui bertanggungjawab di atas kekalutan susulan notis serta-merta kami," katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata, barisan Lembaga Pengarah dan kesemua pasukannya juga dengan rasa rendah diri memohon maaf kepada semua penumpang, Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), pihak lapangan terbang Thailand, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Thailand serta semua pihak yang terjejas susulan perkembangan itu.

"Berikutan kekangan kewangan ketara yang dihadapi sekarang, kami juga tidak dapat menawarkan sebarang khidmat kepada penumpang yang terjejas di lapangan terbang.

"Pada kesempatan ini juga, kami ingin berterima kasih kepada (syarikat penerbangan) AirAsia, Batik Air dan Malaysian Airlines Group serta MAHB di atas bantuan kepada penumpang terjejas pada masa ini,” katanya.

Terdahulu pada pagi ini, MYAirline Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan mengenai tindakannya yang terpaksa mengambil 'keputusan amat sukar' akibat tekanan kewangan yang ketara dan menggantung operasinya sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula syarikat penerbangan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: