Penumpang mahu MYAirline ambil tanggungjawab pembatalan perniagaan

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Penumpang MYAirline Sdn Bhd di sini mahu pihak syarikat itu mengambil tanggungjawab atas kerugian mereka berikutan pembatalan penerbangan dan penggantungan operasinya yang berkuat kuasa hari ini.

Suziana Ottoh, 36, hanya menyedari pembatalan penerbangan itu kira-kira 10 pagi tadi selepas tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) di sini pada 6 pagi dari Lahad Datu yang jaraknya lebih 400 kilometer.

Beliau bersama lima anaknya dijadualkan berlepas ke Kuala Lumpur pada 4.20 petang 14 Oktober ini, tetapi waktunya telah ditunda kepada 9.50 malam.

"Saya tidak pasti sama ada (penerbangan jam 9.50 malam) itu dibatalkan atau tidak. Saya takut kalau dibatalkan lagi macam hari ini, sia-sia saja menunggu," katanya kepada Bernama di KKIA di sini hari ini.

MYAirline Sdn Bhd dalam satu kenyataan awal pagi ini memaklumkan menggantung operasinya berkuat kuasa hari ini hingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan yang ketara.

Suziana berkata, dia terpaksa datang awal dua hari bagi mengelak tertinggal pesawat kerana pernah terjadi sebelum ini apabila syarikat penerbangan tidak membenarkan mereka menaiki pesawat hanya kerana lewat beberapa minit.

Sementara itu, Fresella June Gunihas, 22, berkata, dia datang ke pusat jualan MYAirline kerana mahu mendapatkan penjelasan mengenai jadual penerbangannya yang sepatutnya pada 18 Oktober tetapi telah diubah.

Katanya, berikutan masalah itu, dia terpaksa membayar RM1,600 disebabkan kesilapan sistem syarikat itu yang mengubah tarikh penerbangannya kepada bulan November.

Artikel Berkaitan:

"Saya diminta membayar tambahan harga dan penalti yang bukan berpunca daripada kesalahan saya. Saya tidak faham sistem MYAirline ini," katanya yang mahu ke Kuala Lumpur pada tarikh berkenaan untuk melawat ahli keluarganya yang sakit.

Fadzhil Rosleh, 32, juga melahirkan rasa kecewa apabila tiket penerbangan adiknya bersama ibu dan anak saudara ke Kuala Lumpur pada petang ini telah dibatalkan.

Beliau berkata adiknya, Diana Rosleh, 31, tiba dari Kuala Lumpur semalam dan akan pulang ke Kuala Lumpur petang ini, namun terpaksa pula berdepan dengan situasi itu.

"Sekarang ini kami tidak tahu dengan siapa kami perlu berurusan, pusat jualan MYAirline pun tutup. Tiket sudah dibeli dan bukannya murah untuk tiga orang," katanya yang berasal dari Kota Kinabalu.

Dua penerbangan iaitu Kota Kinabalu -Tawau dan Kota Kinabalu - Kuala Lumpur dibatalkan oleh syarikat berkenaan.

Di Sabah, penggunaan kapal terbang terutama dari Kota Kinabalu ke kawasan pantai timur dan kawasan pedalaman adalah satu keperluan kerana tempoh yang singkat berbanding perjalanan darat yang mengambil masa lapan hingga sembilan jam.

Sementara itu, di Sepang, Selangor seorang warga India, Vipin Singh yang sepatutnya berlepas ke Bangkok, Thailand melalui penerbangan MYAirline pada jam 3.55 petang tadi, hanya menyedari tentang penggantungan operasi syarikat itu apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (klia2) pada jam 1.30 tengah hari dan mendapati semua kaunter daftar masuk MYAirline tutup.

"Saya baru tahu mengenai penggantungan itu ketika tiba di sini (lapangan terbang). Saya tidak baca berita tempatan, jadi saya tidak mengetahui situasi semasa tambahan pula sepanjang tempoh 24 jam lepas, tiada sebarang pemberitahuan daripada syarikat penerbangan berhubung penangguhan atau pengembalian wang.

"Memburukkan lagi keadaan, visa saya tamat hari ini. Jadi, jika saya tak dapat tiket baharu, saya tak tahu apa akan berlaku pada saya," katanya.

Tinjauan Bernama di klia2 mendapati pejabat dan kesemua 16 kaunter daftar masuk MYAirline yang terletak di Aras 3 ditutup dan tiada kakitangan daripada syarikat penerbangan itu yang kelihatan.

Penumpang yang terjejas berkata mereka terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk membeli tiket penerbangan lain di saat akhir yang biasanya dijual lebih mahal, selain kecewa kerana tiada bantuan yang ditawarkan oleh MYAirline.

Noorhaslinda Zainal Abidin, 40, berkata, beliau mengeluarkan RM405 untuk membeli tiket penerbangan baharu daripada syarikat penerbangan lain bagi memastikan beliau sampai ke Langkawi hari ini untuk bertemu ahli keluarganya selepas menjalani kursus tiga hari di Kuala Lumpur.

"Saya beli tiket MYAirline untuk penerbangan ke Langkawi dengan harga lebih RM100 pada jam 5 Oktober lepas, tapi bila terjadi perkara luar jangka macam ini terpaksa keluarkan duit lebih untuk beli tiket (lain).

"Ada juga penumpang yang kecewa sebab tidak dapat beli tiket (lain) mungkin tak cukup duit. Bila perkara macam ini berlaku, ia sangat menyusahkan kami," katanya.

Noorhaslinda yang merupakan guru sekolah menengah di Langkawi berkata beliau ada menerima emel daripada MYAirline beberapa hari lepas memaklumkan penerbangan pada jam 3 petang ditangguhkan ke jam 7 petang hari yang sama.

"Semalam saya juga dapat emel beritahu sudah berjaya daftar masuk, jadi saya ingat penerbangan macam biasa tetapi pagi tadi ada kawan hubungan saya beritahu penerbangan MYAirline dibatalkan dan mereka suruh beli tiket baharu.

"Saya ambil keputusan datang awal ke sini untuk tengok sendiri betul ke berita itu dan bila sampai sini pukul 1 petang tadi, memang betul tutup. Penat nak fikir panjang, saya terus beli tiket AirAsia," katanya sambil mengakui tidak dimaklumkan berhubung pengembalian semula wang oleh syarikat penerbangan itu. - Bernama