Mufti Perak dedah fahaman bidaah terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah

Saarani (kanan) menerima Deklarasi Ipoh daripada Wan Zahidi ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Saarani (kanan) menerima Deklarasi Ipoh daripada Wan Zahidi ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sebuah hotel di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Deklarasi Ipoh yang mengandungi hasil Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menetapkan bahawa fahaman Wahabi merupakan antara fahaman bidaah yang terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, selain itu fahaman bidaah lain seperti Syiah, Khawarij, Mujassimah, Mushabbihah, Muktazilah, Batiniyyah, Liberalisme, Pluralisme, Sekularisme, Wahabi, Salafiah Jihadiah, Daesh, Al-Ikhwan atau sebarang fahaman yang membawa kepada fenomena takfir dan keganasan turut terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurutnya, cabaran utama terhadap pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dewasa ini ialah daripada golongan yang menganut fahaman Wahabi yang diasaskan oleh Muhammad Abdul Wahab di Dariyah, Najd, Arab Saudi.

"Sepanjang dua abad yang lalu pemahaman agama di negara ini didominasi oleh golongan berfahaman Wahabi," katanya ketika menyampaikan Muhadarah Eksklusif sempena Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi.

Dalam pada itu, Wan Zahiri berkata, terdapat usaha pihak tertentu sejak akhir-akhir ini mewujudkan kekeliruan bagi menimbulkan kecelaruan tentang siapakah yang dikatakan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurutnya, terdapat golongan yang menuduh Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Asyairah Maturidiyah yang membentuk 95 peratus daripada keseluruhan umat ini sebagai golongan yang sesat.

"Di pihak yang lain pula, terdapat golongan “syaz” atau serpihan seperti Wahhabiyah yang menyebarkan ajaran bidaah mendakwa bahawa mereka adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan menuduh jumhur ummah yang terdiri daripada Asya’irah dan Maturidiyah terkeluar daripada aliran arus perdana ini.

"Keadaan ini memerlukan penegasan semula tentang takrif Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tokoh-tokoh utamanya perlu diperkenalkan kembali bagi memelihara akidah umat Islam daripada terpesong," katanya.

Artikel Berkaitan:


Pada majlis itu turut Wan Zahidi turut menyerahkan Deklarasi Ipoh yang mengandungi tujuh perkara utama hasil Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas berlangsung selama tiga hari.