Pelihara pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah - Sultan Perak

Sultan Nazrin - Foto Bernama
Sultan Nazrin - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Umat Islam wajib berganding bahu memastikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dilindungi, dipelihara dan dihayati.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ancaman ke atas pegangan ahli sunnah hari ini dilakukan secara terang oleh musuh Islam dan berselindung melalui gerakan batiniah tertentu.

"Tindak tanduk individu yang mempamerkan diri mereka sebagai ulama, ustaz, tuan guru dan seumpamanya namun pada hakikatnya, mereka membawa ajaran yang menyeleweng dan tafsiran yang menyimpang daripada landasan Islam sebenar.

"Usaha meningkatkan kefahaman mengenai Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan usaha penting untuk memastikan keharmonian ummah dapat dijamin.

"Juga untuk melengkapkan ummah dengan fahaman yang jelas agar lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan aliran pemikiran janggal yang mengundang kebinasaan ke atas diri, keluarga, masyarakat mahupun negara," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan 'Memperkasa Ahli Sunnah Wal Jamaah Sebagai Firqah Najiah' di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Rabu.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Exco Perak, Khairudin Abu Hanipah yang mewakili Menteri Besar dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Titah Sultan Nazrin, akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah disifatkan sebagai ajaran betul, lurus, selamat, jelas serta tiada kekeliruan di dalamnya.

Tambah baginda, pegangan ini merupakan warisan jati diri umat Islam di negara ini sejak agama Islam mula bertapak di Tanah Melayu.

"Sepanjang sejarah dalam manhaj (kaedah) Ahli Sunnah Wal Jamaah, pendekatannya bersifat pertengahan dan seimbang, tidak bersifat keterlaluan ataupun ekstrem. Manhaj ini menerima pendekatan nas dan akal dengan meletakkan nas mengatasi akal.

"Ahli Sunnah Wal Jamaah berpegang bahawa manusia dituntut berusaha dan berikhtiar tetapi memahami bahawa Allah SWT yang menentukan hasil kejayaan dan pencapaian.

"Dalam amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah, akal diberikan ruang untuk berfikir dan membuat tafsiran malah takwilan yang tidak jauh dengan tuntutan nas, bukan membuat tafsiran secara literal yang menampakkan Islam sebagai agama yang kaku dan tidak realistik," titah baginda.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan melancarkan buku ' Mengenal Kesesatan Syiah' dan 'Jaringan Islam Liberal dan Agenda Pemurtadan Ummah' karya Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Baginda turut berkenan mendengar pembentangan kertas kerja utama oleh Mufti Singapura, Dr Naziruddin Mohd Nasir bertajuk 'Memperkasakan Kepimpinan Keagamaan Untuk Menangani Cabaran Masakini: Pengalaman Singapura'.