Pertimbang jawatan MB kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah - Zamihan

Zamihan - Foto Awani
Zamihan - Foto Awani
A
A
A

PUTRAJAYA - Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) mengemukakan lapan cadangan antaranya mempertimbangkan jawatan menteri besar agar terdiri dalam kalangan muslim Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai usaha memperkasakan fahaman itu sekali gus membendung ajaran sesat radikal.

Menerusi kenyataan yang diedarkan pada Rabu, Presiden Aswaja, Zamihan Mat Zin berkata, kerajaan negeri turut dicadang memaktubkan definisi Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah secara detail di dalam Undang-undang Tubuh Negeri, Enakmen Pentadbiran Islam negeri serta fatwa.

"Tidak keterlaluan jika jawatan menteri besar pun hendaklah terdiri dalam kalangan muslim Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Menurut beliau, modul pengajian agama di masjid, surau, sekolah dan universiti perlu disemak semula agar berteraskan kepada ajaran berkenaan.

Jelas Zamihan, Enakmen Pentadbiran Islam perlu dipinda supaya satu hukuman keras dan tegas boleh dikenakan ke atas mana-mana individu yang menyebarkan ajaran sesat atau menyeleweng daripada ajaran tersebut.

"Bahan penerbitan berkualiti mengenai Aswaja perlu diperbanyakkan manakala bahan penerbitan yang mempunyai unsur ajatan sesat seperti Syiah, Wahabi, Islam liberal, Hizbut Tahrir dan ajaran Si Hulk perlu disekat sepenuhnya," katanya.

Tambah beliau, akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebenar ialah berteraskan manhaj Imam Abu Hassan Al-Ashaari dan Abu Mansur Al-Maturidi, manakala dari sudut fiqah pula berdasarkan kepada mazhab al-Syafie dan meraikan mazhab muktabar yang lain serta penghayatan kerohanian berasaskan kepada tarekat tasawuf muktabar seperti al-Junaidi, Al-Ghazali, Al-Naqshabandi dan lain-lain.

"Manhaj ini dianuti oleh jutaan ulama Islam sepanjang zaman dengan pelbagai penguasaan disiplin ilmu.

Artikel Berkaitan:

"Bahkan ia terbukti berupaya membangunkan modal insan manusia berkualiti dan merupakan momentum utama dalam memperkasakan tamadun Islam," katanya.

Tegasnya, akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan satu-satunya 'anti virus' yang paling berkesan untuk membendung gejala jenayah, ajaran sesat, radikal, ekstremis dan pengganas di dalam masyarakat.

"Ia juga menjadi wacana spritual yang mampan dalam melahirkan insan yang berakhlak mulia dan memiliki kompetensi yang tinggi serta sesuai dengan pelan transformasi Al-Falah Malaysia Madani," ujar beliau.

Semalam Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah langkah meningkatkan kefahaman mengenai akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah usaha penting untuk memastikan keharmonian ummah terjamin, selain melengkapkan ummah dengan fahaman yang jelas agar lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan aliran pemikiran janggal.

Baginda bertitah, ancaman ke atas pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, hari ini dilakukan secara terang oleh musuh-musuh Islam di samping secara terselindung melalui gerakan-gerakan batiniah (kebatinan) tertentu serta tindak-tanduk individu yang mempamerkan diri mereka sebagai ulama, ustaz, tuan guru, dan seumpamanya.