SPRM bongkar kegiatan seleweng subsidi, 'simpan' beras di kilang

Tiga buah kilang telah diserbu SPRM di sekitar Kedah pada Rabu, bagi mengesan aktiviti penyelewengan pemberian subsidi beras tempatan.
Tiga buah kilang telah diserbu SPRM di sekitar Kedah pada Rabu, bagi mengesan aktiviti penyelewengan pemberian subsidi beras tempatan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menumpukan siasatan berkaitan penyelewengan pemberian subsidi kepada petani yang menjual beras tempatan ke kilang-kilang yang dilesenkan.

Menurut sumber, susulan siasatan itu, tiga buah kilang telah diserbu SPRM di sekitar Kedah pada Rabu bagi mengesan aktiviti penyelewengan pemberian subsidi beras tempatan tersebut.

"Modus operandi yang digunakan sindiket ini ialah mereka disyaki menipu resit-resit pembelian padi di kilang-kilang terbabit.

"Ini melibatkan tiga pihak iaitu petani, pengilang dan wakil Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang bertanggungjawab dalam memastikan jumlah padi yang dibeli dari petani seimbang dengan jumlah subsidi yang dibayar," katanya.

Kata sumber itu, penyelewengan dalam tuntutan subsidi disyaki berlaku apabila jumlah berat padi yang dijual di kilang adalah tidak sama dengan nilai subsidi yang dibayar kepada petani.

"Resit-resit pembelian padi dan jumlah berat padi disyaki sengaja dipalsukan dengan melipatgandakan jumlah berat padi yang dijual," ujarnya

Difahamkan subsidi yang dibayar oleh kerajaan melalui Bernas ialah sebanyak RM500 bagi setiap tan padi yang dijual di kilang manakala pihak kilang membeli daripada petani dengan harga RM1.25 sekilogram.

"Ini bermaksud sekiranya, seorang petani menjual satu tan beras kepada pengilang, mereka akan menerima RM1,250 dan RM500 daripada jumlah tersebut merupakan subsidi daripada kerajaan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah sumber itu lagi, jumlah subsidi yang diperuntukan kerajaan ialah sebanyak RM600 juta setahun, namun masih terlalu awal untuk merumuskan jumlah sebenar ketirisan subsidi yang berlaku.

Selain itu, sumber turut mendedahkan bahawa terdapat penyelewengan yang dilakukan oleh pengilang yang mencampurkan beras tempatan dengan beras import dan dijual dengan harga beras import.

"Ia jauh lebih menguntungkan berbanding harga beras tempatan yang dikawal kerajaan," katanya.

Sumber berkata, salah satu lagi faktor yang menjadi punca kekurangan beras tempatan ialah sikap pengilang yang menyimpan dan menyorokkan beras-beras tempatan kononnya menunggu pelarasan harga oleh kerajaan.

"Mereka memberi alasan beras tersebut disimpan ialah disebabkan tiada ejen yang mahu membeli beras tersebut," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tindakan yang diambil SPRM berhubung perkara ini.

Menurut beliau, masih terlalu awal untuk merumuskan perkara ini dan kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"SPRM akan melihat dua aspek termasuk kesalahan jenayah dan aspek tatakelola dalam pengagihan subsidi," ujarnya.