Pemuda Pas gesa tindakan tegas kes pelajar pijak al-Quran

SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah yang didakwa memijak al-Quran.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar, menyifatkan perbuatan itu bukan salah laku kecil, sebaliknya penghinaan terbuka terhadap kitab suci umat Islam yang wajib dipandang serius oleh negara.
Menurutnya, al-Quran ialah kalam ALLAH yang dimuliakan oleh lebih 60 peratus rakyat Malaysia yang beragama Islam serta menjadi asas akidah, syariat dan peradaban.
Tegasnya, tindakan memijak kitab suci itu merupakan provokasi melampau yang mencabar keharmonian serta menguji ketegasan undang-undang negara.
“Malaysia bukan negara yang membenarkan budaya ekstrem atas nama kebebasan tanpa batas.
“Jika insiden seperti ini tidak ditangani dengan hukuman yang benar-benar tegas, ia akan menjadi preseden berbahaya dan membuka ruang kepada penghinaan agama yang lebih besar pada masa akan datang,” ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohamed Sukri menuntut tindakan keras dan tidak berkompromi daripada pihak berkuasa, malah memberi amaran akan menggerakkan bantahan awam secara besar-besaran mengikut Akta Perhimpunan Aman sekiranya isu itu tidak diselesaikan dengan tegas oleh kerajaan.
Beliau menggariskan tiga tindakan segera yang menurutnya mesti dilaksanakan, iaitu siasatan serta-merta dan pendakwaan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan penghinaan agama dan ketenteraman awam dengan hukuman paling berat yang boleh dijatuhkan.
Selain itu, beliau menuntut penamatan serta-merta pelajar terbabit daripada pengajian di universiti berkenaan serta tidak dibenarkan memasuki mana-mana universiti awam.
Ujarnya, hukuman kerja kemasyarakatan yang berat dan berpanjangan di bawah pemantauan rasmi, termasuk khidmat wajib di institusi kebajikan serta program pemulihan sahsiah yang ketat, juga perlu dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa undang-undang sedia ada mungkin tidak lagi memadai untuk menangani penghinaan terbuka terhadap Islam yang disifatkannya semakin berani dan provokatif.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penggubalan rang undang-undang yang lebih tegas dan khusus terhadap penghinaan agama Islam, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Ujarnya lagi, undang-undang berkenaan perlu memperincikan bentuk kesalahan, memperkemas takrif penghinaan serta memperuntukkan hukuman yang lebih berat dan jelas sebagai langkah pencegahan.
Beliau turut menyeru semua Ahli Parlimen beragama Islam tanpa mengira parti supaya bersatu menyokong usaha memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap kesucian Islam, sambil menegaskan bahawa dalam isu maruah agama tidak sepatutnya wujud politik kepartian kerana ia membabitkan prinsip, akidah dan ketenteraman negara.
“Tegasnya negara dalam isu ini akan menjadi garis pemisah yang jelas bahawa kesucian al-Quran tidak boleh dipijak dan agama tidak boleh dijadikan bahan provokasi,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Pemuda Pas Selangor mengecam tindakan memijak al-Quran oleh pelajar di Universiti Malaysia Pahang
- Mengecam perbuatan tersebut sebagai penghinaan terhadap kitab suci umat Islam dan mencabar keharmonian
- Menuntut tindakan keras dan tidak berkompromi dari pihak berkuasa, serta menggerakkan bantahan jika isu tidak diselesaikan
- Menggariskan tiga tindakan segera termasuk siasatan dan pendakwaan, penamatan pengajian pelajar, dan hukuman kerja kemasyarakatan yang berat
- Menggesa penggubalan undang-undang yang lebih tegas dan khusus terhadap penghinaan agama Islam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

