Dakwaan rasuah di KLIA: SPRM sudah mulakan siasatan penuh

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan penuh berhubung dakwaan berlakunya kegiatan rasuah di pintu masuk negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menerusi pertemuan singkat pada Rabu.

"Komitmen dan tahap perkhidmatan yang baik dilaksanakan sebahagian besar anggota dan pegawai Jabatan Imigresen, tapi dalam masa sama, jemaah menteri tidak menafikan penglibatan pegawai terbabit (rasuah) seperti insiden yang didakwa

"Jadi kami beri kerjasama penuh kepada SPRM meneruskan siasatan sehingga selesai untuk sahkan sama ada berlaku atau tidak," katanya pada sidang media Khas di sini, pada Rabu.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, barisan kabinet turut mengarahkan agar peranan sebuah syarikat yang dilantik bagi menguruskan pengembara yang dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) diteliti semula.

Jelas beliau, syarikat yang dilantik sejak 2015 itu bertanggungjawab dalam menguruskan proses penghantaran pulang pengembara dikenakan NTL.

"Misalnya urusan tiket kapal terbang untuk balik. Mungkin apabila diminta untuk membayar kos tiket, ia seolah-olah dianggap imigresen minta duit.

"Jemaah menteri tadi minta Menteri Pengangkutan melihat aspek ini adakah ini amalan biasa atau bagaimana," katanya.

Beliau juga menjelaskan, sejak Januari hingga Jun 2023, hanya 0.07 peratus NTL dikeluarkan terhadap pengembara dari China, berbanding sejumlah 592,490 kemasukan yang direkodkan.

Katanya, angka tersebut amat kecil berbanding pengembara China yang dibenarkan masuk ke negara ini.

"NTL juga dikenakan terhadap pengembara dari negara lain, dan lebih tinggi berbanding NTL dikenakan terhadap warga China.

"Ini gambaran lebih jelas menunjukkan jika sekatan dikenakan, pasti ada sebabnya," katanya.

Baru-baru ini tular mengenai kekecohan tercetus di KLIA apabila seorang menteri didakwa menceroboh balai ketibaan lapangan terbang untuk 'menyelamatkan' seorang pelancong dari China.

Mengakui dirinya yang dikaitkan dengan kejadian itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan kehadirannya ke KLIA membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk masuk negara.