Banjir Sabah: mangsa meningkat kepada 2,288 orang

 Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 2,288 orang setakat jam 8 pagi pada Khamis
Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 2,288 orang setakat jam 8 pagi pada Khamis
A
A
A

KOTA KINABALU - Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 2,288 orang setakat jam 8 pagi pada Khamis, berbanding 1,564 orang yang direkodkan pada Rabu. 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan kesemua mangsa daripada 935 keluarga itu kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi.

Berdasarkan data terkini, daerah Beaufort merekodkan peningkatan mangsa tertinggi iaitu sebanyak 945 orang (291 keluarga) berbanding hanya 395 orang pada Rabu.

Kesemua mangsa di daerah itu kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal Selagon dan PPS Dewan DUN Banir.

Di Sipitang, jumlah mangsa turut meningkat kepada 421 orang (176 keluarga) berbanding 352 mangsa sebelum ini, manakala jumlah mangsa di Membakut bertambah kepada 315 orang (125 keluarga) berbanding 211 orang pada Rabu. 

Jumlah mangsa terjejas di daerah Pitas dan Sook tidak berubah sejak Rabu.

Pitas kekal dengan 528 mangsa (318 keluarga) yang berlindung di PPS Dewan Terbuka Kanibongan dan Dewan Sinukab Kanibongan, manakala di Sook sebanyak 79 mangsa (25 keluarga) di PPS Dewan SLDB Dalit Gana.

Tenom yang menjadi daerah terbaru dilanda banjir sejak petang Rabu, jumlah mangsa di PPS pada Khamis masih belum direkodkan berikutan proses pendaftaran mangsa dan semakan pihak berwajib masih giat dijalankan.

Secara keseluruhan, jumlah kampung yang terjejas akibat bencana banjir di keenam-enam daerah terbabit kekal pada angka 140 buah kampung. - Bernama 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 2,288 orang
  • Mangsa daripada 935 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara
  • Daerah Beaufort merekodkan peningkatan mangsa tertinggi sebanyak 945 orang
  • Di Sipitang, jumlah mangsa meningkat kepada 421 orang manakala di Membakut bertambah kepada 315 orang
  • Jumlah kampung yang terjejas akibat banjir di keenam-enam daerah terbabit kekal pada angka 140 buah kampung

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!