Pegawai Imigresen cedera dirempuh dalam serbuan pusat hiburan

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia cedera selepas dirempuh seorang warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang, di sini pada Khamis.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Basri Othman berkata dalam operasi bermula 3.15 pagi, pegawai itu disyaki patah kaki kiri dan suspek kemudiannya melarikan diri.
"Suspek bertindak agresif semasa keadaan kelam-kabut di tangga premis sehingga pegawai kami terjatuh. Pegawai itu dikejarkan ke hospital dan dilaporkan stabil,” katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.
Basri berkata, operasi melibatkan 85 pegawai dan anggota termasuk 15 daripada Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) dengan 48 daripada 98 warga asing yang diperiksa ditahan atas pelbagai kesalahan.
Antara kesalahan itu adalah tinggal lebih masa dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dengan mereka terdiri daripada warga Myanmar, Thailand dan beberapa negara Afrika.
Selain itu, Basri berkata, dua lelaki Nigeria ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas pelajar dengan bekerja sebagai pengacara lagu (DJ).
"Mereka dikesan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas,” katanya.
Basri berkata, kebanyakan pengunjung dalam keadaan khayal dipercayai akibat alkohol ketika pemeriksaan dijalankan.
Siasatan awal juga mendapati premis itu menggunakan khidmat wanita warga asing yang menerima tempahan dan menetapkan kadar bayaran melalui telefon.
Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut. - Bernama
Ringkasan AI
- Pegawai Imigresen Malaysia cedera selepas dirempuh seorang warga asing dalam operasi penguatkuasaan di Bukit Bintang
- Pegawai itu disyaki patah kaki kiri dan suspek melarikan diri
- Operasi melibatkan 85 pegawai dan anggota termasuk 15 dari Pasukan Taktikal Khas dengan 48 warga asing ditahan
- Dua lelaki Nigeria ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas pelajar dengan bekerja sebagai DJ
- Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

