Sanusi sokong SPRM buat lebih banyak serbuan isu beras

Muhammad Sanusi ketika hadir ke Himpunan Solidariti Rakyat Palestin di Dataran Zero Kilometer pada Jumaat.
Muhammad Sanusi ketika hadir ke Himpunan Solidariti Rakyat Palestin di Dataran Zero Kilometer pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melaksanakan lebih banyak serbuan di kilang beras di negeri ini bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan.

Beliau dalam masa sama memohon agar pasukan penguat kuasa itu lebih tegas menangani isu berkenaan.

"SPRM serbu lebih banyak kilang... berapa ada kilang di Kedah ini... Tengok kilang-kilang itu simpan beras berdasarkan permit atau tidak?

"Mana yang langgar peraturan tangkap, bungkus, tutupkan kilang itu... kena tegas, semua penguat kuasa kena tegas, serius dalam kerja ini," katanya.

Beliau ditemui media ketika hadir ke Himpunan Solidariti Rakyat Palestin di Dataran Zero Kilometer di sini pada Jumaat.

Jelasnya, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa namun berharap agar perkara itu diberikan perhatian sewajarnya.

"Saya tak ada kuasa nak arahkan tapi ada juga netizen pekak mana itu dia kata awat (kenapa) MB tak pi (pergi) check (periksa) sendiri.

"Kerajaan negeri tak ada kuasa itu, ia berada bawah KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) dan mereka sudah mula bertindak, saya ucap tahniah kepada MOA. Alhamdulillah akhirnya dia tahu macam mana bekerja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, terdapat 67 buah kilang di Kedah iaitu 15 daripadanya adalah milik Bumiputera, 41 bukan Bumiputera dan 11 kilang Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Daripada jumlah itu, sembilan kilang tidak aktif.

Sebelum ini, media melaporkan lima kilang di sekitar Kedah diserbu SPRM susulan siasatan penyelewengan pemberian subsidi kepada petani yang menjual beras tempatan ke kilang dilesenkan.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, agensi di bawah KPKM perlu membuat kajian yang lebih terperinci mengenai sumber beras negara dan mengemas kini keperluan negara dari semasa ke semasa.

Katanya, apabila berlaku krisis beras, Kedah dijadikan kambing hitam sedangkan kerajaan banyak memuji Selangor dan Pulau Pinang sebagai pengeluar beras yang tinggi.

"Dia duk puji Sekincan dan Seberang Perai hasil beras yang banyak, tiba-tiba mai (datang) masalah beras tala kat Kedah, ha baru dia tau, kena beri perhatian kepada rantaian beras, selesai tanam selesai tuai, kementerian kena pastikan betul-betul ikut undang-undang.

"Jangan cari kambing hitam, itu semua kuasa kementerian, dua tahun saya cakap ada kartel dalam industri padi ini, kartel ini buat macam-macam, pakat offer (tawar) mahal baru sedar ada penyorokkan jualan beras tempatan, meletup depa turun harga, ada benda tak kena," katanya.

Muhammad Sanusi dalam masa sama mengharapkan agar isu berkenaan tidak dipolitikkan dan ditangani secara berhemah.