MYAirline: Penumpang rugi RM700 hingga RM4,000

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil dari kiri: Noraini Zainal, Melor Buyong Aris
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil dari kiri: Noraini Zainal, Melor Buyong Aris
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tindakan syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline menggantung operasi berkuat kuasa serta-merta menyebabkan penumpang terkandas di lapangan terbang dengan kerugian pembelian tiket sehingga RM4,000.

Pekerja swasta, Melor Buyong Aris, 34, berkata, sebanyak 32 tiket penerbangan dari Pulau Pinang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dibeli untuk tujuan program pejabat di negeri Pulau Mutiara itu.

“Saya yang uruskan setiap pembelian tiket penerbangan dengan semua aktiviti di sini (Pulau Pinang), jadi tiket untuk 16 pekerja syarikat kami hampir RM4,000 pergi dan balik.

“Sepatutnya penerbangan kami ke Kuala Lumpur pada 28 Oktober dari Pulau Pinang dan pulang semula ke Kuching, Sarawak pada 29 Oktober.

“Syarikat kami ada di Samarahan, tidak tahu bagaimana untuk pulang ke Sarawak semula disebabkan tersangkut di sini (Pulau Pinang),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

MYAirline dalam kenyataan mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa 12 Oktober 2023 sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurut syarikat itu, tekanan kewangan menjadi punca keputusan tersebut terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal.

Dalam pada itu, suri rumah, Noraini Zainal, 58, turut mengalami nasib sama dan menanggung kerugian hampir RM700 untuk dua tiket penerbangan dari KLIA ke Kuching, Sarawak pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

“Penerbangan saya ke Kuching pada 6.45 pagi tadi, jadi saya sudah berada di KLIA seawal jam 4 pagi untuk daftar masuk beg ke kargo tetapi tiada satu kaunter MYAirline pun yang dibuka.

“Ini merupakan kali kedua saya cuba penerbangan MYAirline, yang pertama pada bulan Ogos lalu. Perkhidmatannya sangat baik jadi sebab itu saya beli lagi dengan syarikat ini, namun hari ini bukan rezeki saya.

“Di KLIA pagi tadi ramai polis bantuan yang menunggu di depan pejabat MYAirline, tetapi di sana memang tiada pekerja yang bertugas hadir. Mungkin pihak mereka bersedia terlebih dahulu jika ada sebarang perkara berlaku,” jelasnya yang terkandas di KLIA hampir lima jam.

Sementara itu, Batik Air dan AirAsia menawarkan tambang tetap khas bagi membantu penumpang MYAirline yang terkandas di laluan terpilih.

Chandaran
Chandaran

Menurut Pengarah Strategik Kumpulan Batik Air dan Lion Group, Datuk Chandran Rama Muthy, pihaknya akan membantu penumpang yang terlibat sehingga tiba ke destinasi masing-masing.

“Penumpang boleh dapatkan tambang istimewa termasuk perjalanan sehala sehingga 30 November dan tempat duduk tertakluk pada ketersediaan. Tambang istimewa ke Pulau Pinang hanya RM129, Langkawi; RM159, Kuching; RM199, Bangkok (DonMuang) dan Kota Kinabalu; RM299,” jelasnya,

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata, syarikat AirAsia juga menawarkan harga istimewa dengan diskaun 50 peratus harga penerbangan dari Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang, Tawau, Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu dan Bangkok yang tertakluk sehingga 30 November.

“Saya berharap tawaran ini dapat membantu penumpang yang terjejas dalam membuat pengaturan perjalanan baru dan memanfaatkan sepenuhnya rangkaian penerbangan ini ke semua destinasi utama,” ujarnya.