MyAirline perlu jelas isu dihadapi kepada Mavcom - Anthony Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook bercakap pada sidang media Mesyuarat Majlis Konsultasi Penerbangan Negara (National Aviation Consultative Council - NACC) di sebuah hotel pada Rabu. - Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook bercakap pada sidang media Mesyuarat Majlis Konsultasi Penerbangan Negara (National Aviation Consultative Council - NACC) di sebuah hotel pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - MyAirline Sdn Bhd (MyAirline) perlu menjelaskan sebarang isu yang dihadapi kepada Kementerian Pengangkutan menerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebelum agensi itu menyediakan sebarang bantuan, kata menteri berkenaan Anthony Loke Siew Fook.

"Kami akan lihat masalah mereka (aspek mana boleh dibantu kementerian) dari segi kemudahan, pelesenan dan sokongan kawal selia.

"Kami akan berusaha memudahkan dan memberi sedikit ruang kepada mereka, tetapi mereka perlu berjumpa kami untuk menjelaskan apakah masalah mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Penerbangan Kebangsaan (NACC) di sini pada Rabu.

Ketika ditanya laporan media berkenaan status kewangan syarikat penerbangan tambang rendah itu atau kemungkinan untuk diambil alih, Anthony berkata, beliau tidak menerima sebarang maklumat yang berkaitan.

"Setakat ini, saya tidak menerima apa-apa maklumat daripada Mavcom. Saya tidak tahu sama ada mereka menjual (syarikat penerbangan itu) kepada siapa atau siapa yang akan mengambil alih. Itu di luar pengetahuan saya.

"Sekiranya terdapat sebarang perubahan, pihak berkepentingan atau pihak lain, sudah tentu perlu dimaklumkan kepada Mavcom. Tetapi, setakat ini saya difahamkan belum ada apa-apa maklumat (itu),” katanya.

Terdahulu, media tempatan mendakwa syarikat penerbangan tambang rendah itu dipercayai akan menerima pelabur baharu yang berpotensi iaitu anak Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg iaitu Abang Abdillah Izzarim Abang Abdul Rahman Zohari berikutan masalah kewangan yang melanda MYAirline.

Ini berlaku selepas Ketua Pegawai Eksekutif MyAirline Rayner Teo meletak jawatan berkuat kuasa 7 Oktober 2023 atas sebab kesihatan. - Bernama.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!