Kes bunuh, seksual di Selangor meningkat 6.1 peratus

Hussein (tengah) ketika sidang akhbar Latihan Ops Ex-Ganjar di Pelabuhan Klang pada Rabu.
Hussein (tengah) ketika sidang akhbar Latihan Ops Ex-Ganjar di Pelabuhan Klang pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Kadar jenayah melibatkan kes bunuh dan seksual di Selangor antara yang mencatatkan kenaikan iaitu sebanyak 6.1 peratus dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, indeks jenayah di Selangor sehingga September lalu merekodkan sebanyak 10,714 kes berbanding 10,093 kes pada tahun lepas.

Menurutnya, ia merangkumi kes bunuh, seksual termasuk rogol dan cabul serta jenayah lain seperti samun dan curi.

Bagaimanapun beliau berkata, kadar jenayah bagi sembilan bulan ini tidak mencatatkan kenaikan ketara serta tidak melangkaui nilai ambang yang ditetapkan.

"Kes bunuh dan jenayah seksual antaranya melibatkan rogol, gangguan seksual misalnya antara jenayah yang sukar dilaksanakan menerusi pencegahan namun dapat diatasi dengan mengadakan kempen kesedaran.

"Jenayah lain seperti samun, kecurian kenderaan ada catat kenaikan tapi ia dilihat masih dalam keadaan terkawal," katanya dalam sidang akhbar Latihan Ops Ex-Ganjar di Pelabuhan Klang di sini pada Rabu.

Beliau berkata, tindakan lebih agresif sentiasa diambil dalam usaha mencegah jenayah di negeri ini.

Pada Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa akan berusaha bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas demi menghilangkan rasa ketakutan masyarakat terhadap jenayah.

Artikel Berkaitan:

Perkara tersebut disuarakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang menegaskan penurunan indeks jenayah tidak boleh dianggap satu kejayaan bagi pihaknya jika rakyat masih berasakan tidak selamat dan dalam ketakutan terhadap jenayah.