Hasil kerajaan diunjur meningkat 1.5 peratus kepada RM307.6 bilion

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hasil kerajaan Persekutuan pada 2024 dijangka mencatatkan pertumbuhan marginal sebanyak 1.5 peratus kepada RM307.6 bilion atau 15.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) didorong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, hasil cukai terus menjadi penyumbang utama dan dijangka meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM243.6 bilion, iaitu 79.2 peratus daripada jumlah hasil atau 12.3 peratus daripada KDNK.

"Kutipan hasil akan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh berserta langkah yang diambil untuk meningkatkan lagi mobilisasi hasil melalui peluasan asas cukai serta menambah baik pematuhan dan ketelusan cukai.

"Selain itu, beberapa langkah akan dilaksanakan, antaranya pengenalan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat dan e-invois," kata laporan itu.

Sebelum itu, hasil kerajaan untuk 2023 telah diunjur lebih tinggi sebanyak empat peratus atau RM11.7 bilion kepada RM303.2 bilion atau 16.4 peratus daripada KDNK berbanding anggaran awal sebanyak RM291.5 bilion.

Bagi tahun 2024, kutipan daripada cukai langsung dianggar meningkat sebanyak 6.9 peratus kepada RM185 bilion atau 75.9 peratus daripada jumlah hasil cukai.

Sebahagian besar peningkatan ini terutamanya disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan syarikat (CITA) sebanyak RM106.4 bilion dan cukai pendapatan individu berjumlah RM42.5 bilion.

Kenaikan CITA terutamanya disumbangkan oleh prospek pendapatan syarikat yang lebih baik dan usaha berterusan dalam meningkatkan pengauditan dan pematuhan cukai.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, cukai pendapatan individu dijangka meningkat sebanyak 6.9 peratus seiring dengan prospek kadar pengangguran dan pertumbuhan upah tahunan yang lebih baik.

Kutipan cukai pendapatan petroleum (PITA) pula dijangka berjumlah RM21.7 bilion berikutan purata harga minyak mentah yang stabil iaitu pada paras US$85 setong.

Sebaliknya, hasil daripada cukai langsung lain yang terdiri daripada duti setem dijangka mencatat RM8.6 bilion dan cukai keuntungan harta tanah pula sebanyak RM800 milion selaras dengan jangkaan pasaran harta tanah yang lebih baik.

Pada 2024, kutipan cukai tidak langsung dijangka meningkat sebanyak 4.7 peratus kepada RM58.6 bilion terutamanya disumbangkan oleh kutipan yang lebih tinggi daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

Kutipan SST dijangka berjumlah RM35.8 bilion atau 1.8 peratus daripada KDNK sejajar dengan penggunaan yang leblh tinggi serta keyakinan terhadap sentimen pengguna dan perniagaan.

Kutipan cukai jualan pula diunjur meningkat empat peratus kepada RM18.3 bilion terutamanya disumbangkan oleh mesin dan alat ganti.

Di samping itu, cukai perkhidmatan dianggar sebanyak RM17.5 bilion disokong oleh permintaan yang lebih tinggi bagi makanan dan minuman diikuti oleh sektor telekomunikasi dan insurans, tambah laporan itu.

Kutipan duti eksais diunjur meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada RM13.6 bilion berikutan peningkatan rokok yang diimport, langkah yang diperkenalkan seperti mengenakan duti ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape, meluaskan skop cukai minuman bergula serta prospek stabil dalam industri automotif.

Sementara itu, hasil bukan cukai diunjur berkurangan kepada RM64 bilion terutamanya disebabkan oleh dividen yang lebih rendah daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) seterusnya mencerminkan pengurangan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum.

Dividen tahunan daripada Petronas dijangka lebih rendah berjumlah RM32 bilion.

Dalam pada itu, dividen Bank Negara Malaysia pula dijangka berjumlah sebanyak RM3 bilion manakala bayaran khas daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) diunjur berjumlah RM1 bilion.

Selain itu, lesen dan permit dijangka mencatat RM14.6 bilion terutamanya disumbangkan oleh royalti petroleum sebanyak RM5.6 bilion diikuti oleh levi pekerja asing (RM3.3 billion) dan lesen kenderaan bermotor (RM3.1 billion).

Hasil berkaitan petroleum untuk 2024 dijangka lebih rendah berjumlah RM61.8 bilion atau 3.1 peratus daripada KDNK berbanding RM69.8 bilion atau 3.8 peratus pada 2023 terutamanya disebabkan oleh dividen Petronas yang lebih rendah walaupun purata harga minyak mentah diunjur lebih tinggi.

Sementara itu, hasil bukan petroleum yang merangkumi 80 peratus daripada jumlah hasil diunjur meningkat sebanyak 5.3 peratus kepada RM245.8 bilion mencerminkan kepelbagaian hasil yang lebih baik disokong oleh prospek ekonomi yang menggalakkan.

"Justeru, kerajaan akan terus memastikan penjanaan hasil bukan petroleum yang mampan bagi membiayai komitmen perbelanjaan terutamanya dalam menyediakan infrastruktur dan kebajikan sosial yang lebih baik kepada rakyat," kata kementerian.

Katanya, kerajaan kekal komited dalam mengukuhkan asas hasil, merapatkan jurang cukai dan meningkatkan kecekapan cukai dengan matlamat utama untuk mengutip hasil yang mampan.

"Matlamat ini akan dicapai melalui pelbagai inisiatif termasuk tetapi tidak terhad kepada pengoptimuman insentif cukai, pengurangan kehilangan cukai dan peningkatan pematuhan cukai melalui proses audit yang berkesan.

"Selain itu, usaha akan dipertingkatkan untuk menambah baik mobilisasi hasil dan ketelusan cukai melalui pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana dan pelaporan perbelanjaan cukai," kata laporan itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!