Eksport kasar diunjur meningkat sebanyak 5.1 peratus - MOF

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

EKSPORT kasar diunjur meningkat sebanyak 5.1 peratus merentasi semua sektor pada 2024 berikutan prestasi perdagangan global dan prospek sektor komoditi yang bertambah baik.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2024 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini, peningkatan ini juga sebahagiannya disumbangkan oleh ratifikasi perjanjian perdagangan iaitu Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang akan membolehkan produk tempatan terus menembusi pasaran yang lebih luas.

Eksport barangan pembuatan diunjur kembali pulih sebanyak 5.5 peratus susulan peningkatan permintaan bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) yang menyumbang sebanyak 48.1 peratus dan produk bukan E&E sebanyak 51.9 peratus.

Produk E&E diunjur meningkat sebanyak 4.9 peratus didorong oleh permintaan stabil bagi semikonduktor berikutan trend kitaran menaik produk E&E.

Menurut laporan itu, unjuran pertumbuhan ini juga sejajar dengan pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang akan memacu sektor berimpak tinggi seperti E&E dan aeroangkasa.

Pada masa yang sama, produk bukan E&E dianggar berkembang sebanyak 6.1 peratus disumbangkan oleh permintaan tinggi bagi produk petroleum, kimia dan produk kimia serta barangan pembuatan logam.

Eksport barangan pertanian dijangka meningkat sebanyak 1.7 peratus disokong oleh permintaan lebih tinggi bagi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit meskipun terdapat jangkaan impak minimum daripada fenomena El Niño.

Selain itu, laporan tersebut menyatakan perolehan eksport daripada barangan perlombongan diunjur berkembang sebanyak 2.9 peratus disumbangkan oleh peningkatan permintaan daripada pasaran utama khususnya gas asli cecair (LNG) (3.2 peratus) dan minyak mentah (2.8 peratus) serta harga tenaga global yang menggalakkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, import kasar diunjur berkembang sebanyak 4.9 peratus pada 2024 disumbangkan oleh permintaan lebih tinggi bagi barangan pengantara, barangan modal dan barangan penggunaan.

Import barangan pengantara dijangka meningkat sebanyak 5.2 peratus terutamanya disumbangkan oleh pengembangan sektor pembinaan yang didorong oleh projek infrastruktur dan utiliti strategik serta penyegeraan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Sementara itu, import barangan modal diunjur berkembang sebanyak 5.1 peratus seiring dengan aktiviti pelaburan yang menggalakkan. Import barangan penggunaan pula dijangka meningkat sebanyak 4.1 peratus didorong oleh komponen makanan dan minuman.

Laporan itu memaklumkan, akaun semasa dijangka mencatat lebihan sebanyak RM62.2 bilion atau 3.2 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK) pada 2024 disumbangkan oleh peningkatan berterusan dalam aktiviti ekonomi.

Akaun barangan diunjur mencatat lebihan sebanyak RM174.9 bilion berikutan prospek pertumbuhan yang lebih baik dalam kalangan rakan dagang utama.

Pendapatan lebih tinggi dalam akaun pengangkutan, perjalanan dan perkhidmatan lain dijangka mengecilkan defisit dalam akaun perkhidmatan kepada RM35.9 bilion.

Terimaan daripada akaun pengangkutan diunjur meningkat kepada RM34.2 bilion disokong oleh pendapatan lebih tinggi daripada perkhidmatan pengangkutan udara dan pengendalian kargo yang disediakan oleh syarikat domestik.

Kebergantungan berterusan terhadap perkhidmatan pengangkutan asing pula dijangka menyebabkan peningkatan bayaran akaun pengangkutan kepada RM62.1 bilion berikutan aktiviti perdagangan yang memberangsangkan.

Pendapatan dalam akaun perjalanan dijangka meningkat kepada RM76.6 bilion disumbangkan oleh aktiviti pelancongan yang rancak pada 2024 berikutan peningkatan ketibaan pelancong dan perbelanjaan per kapita.

Sementara itu, bayaran dalam akaun perjalanan dijangka meningkat kepada RM53.8 bilion disebabkan oleh perbelanjaan residen di luar negara untuk perniagaan, pendidikan dan aktiviti keagamaan.

Akaun perkhidmatan lain pula dijangka mencatat defisit yang lebih besar sebanyak RM30.7 bilion disebabkan oleh bayaran yang lebih tinggi, selaras dengan pelaksanaan berterusan projek strategik dan aktiviti ekonomi yang lebih kukuh berikutan pengembangan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Akaun pendapatan primer diunjur mencatat defisit lebih besar sebanyak RM58.5 bilion berikutan bayaran lebih tinggi oleh pelabur asing seiring dengan pelaksanaan aktiviti pelaburan.

Akaun pendapatan sekunder juga dijangka mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM18.3 bilion terutamanya disebabkan oleh kiriman wang keluar yang lebih tinggi oleh pekerja asing, menurut laporan itu. - Bernama