Gangguan bekalan: Peniaga kedai makan terpaksa tadah air

Juliana menunjukkan simpanan air yang ditadah sejak Isnin sebaik menerima notis gangguan air berjadual di kawasan Hiliran Ampang.
Juliana menunjukkan simpanan air yang ditadah sejak Isnin sebaik menerima notis gangguan air berjadual di kawasan Hiliran Ampang.
A
A
A

AMPANG - Beberapa pengusaha kedai makan di Hiliran Ampang di sini menjalankan operasi perniagaan seperti biasa walaupun berdepan gangguan bekalan air pada Selasa.

Peniaga nasi campur, Juliana Sulaiman, 40, berkata, beliau mengambil inisiatif membuat persiapan awal selain telah menadah air sejak Isnin bagi memastikan perniagaan tidak terjejas disebabkan ketiadaan bekalan tersebut.

Menurutnya, kedainya tidak boleh ditutup kerana satu-satunya kedai yang menyediakan hidangan nasi campur bagi kemudahan pekerja pejabat di lokasi berkenaan.

"Walaupun ada tadah air tapi pagi tadi saya buat kerja lebih awal sikit. Kalau biasa mula jam 7 pagi tapi hari ini saya awalkan sejam dan selesaikan basuh ikan serta bahan-bahan untuk memasak.

"Ketika tengah masak lebih kurang jam 9 pagi, bekalan air terputus, baharulah saya gunakan air tadahan untuk siapkan masak lauk-pauk yang belum selesai," katanya ketika tinjauan Sinar Harian sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang pada Selasa.

Beliau berharap pemulihan bekalan air mengikut jadual ditetapkan kerana khuatir bakal menjejaskan operasi perniagaan.

"Saya tadah untuk kegunaan sehari sahaja, sebab notis pemakluman beritahu kerja selesai pada hari sama.

"Harap bekalan air pulih mengikut jadual ditetapkan. Biasa lepas bekalan disambung, sejam selepas itu akan ada air seperti biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang pembantu kedai makan, Siti Khairiah Sidik, 54, berkata, beliau turut mengambil inisiatif sama dengan menadah air sebaik menerima notis gangguan air berjadual itu.

Siti Khairiah
Siti Khairiah

"Memang susah apabila berniaga ketika tiada air, nak memasak rasa tak puas kerana kita dah terbiasa mencuci tangan secara kerap, tapi tiada pilihan tetap juga kena buka kedai seperti biasa.

"Bagi kurangkan penggunaan air, terpaksa hidang air dalam plastik manakala pinggan pula dialas dengan plastik untuk kurang cuci pinggan mangkuk," katanya

Seorang lagi pengusaha makanan di Tempat Letak Kereta Bertingkat (TLKB) Hiliran Ampang, Mohd Fakhrulddin Roslan, 32, berkata, kedainya beroperasi seperti biasa memandangkan bangunan tersebut mempunyai tangki besar yang cukup menampung kegunaan selama beberapa hari.

Mohd Fakhrulddin memadah air sebagai kegunaan waktu kecemasan.
Mohd Fakhrulddin memadah air sebagai kegunaan waktu kecemasan.

"Jika ikut kepada pengalaman lepas, tangki di sini mampu tampung penggunaan sehingga tiga ke tujuh hari jika tiada air, namun saya tadah juga air satu ke dua tong jika berlaku kecemasan.

"Hari ini operasi berjalan seperti biasa kerana ada air tapi esok tak pasti. Jika tiada air pun, saya tak akan tutup kedai dan cari alternatif kerana biasanya jualan akan meningkat ketika musim tiada air," katanya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebelum ini memaklumkan pihaknya akan memulakan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat pada Selasa.

Pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di Wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat.

Kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian ini dijangka siap pada jam 7 malam, Selasa dan bekalan air dijangka mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat setelah sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.

Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, Khamis.