Kerajaan digesa campur tangan isu bekalan air di Pulau Pinang

Pathmanathan
Pathmanathan
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang memerlukan sokongan padu serta bantuan kerajaan Persekutuan untuk menyiapkan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) dan melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd, K Pathmanathan berkata, insiden Sungai Muda pada Mei lalu membabitkan 453,954 pengguna air di Pulau Pinang membuktikan kepentingan MDEP dan SPRWTS.

Menurutnya, PBAPP telah mengetengahkan beberapa syor utama dalam laporan 'post-mortem' mengenai insiden berkenaan kepada kerajaan Pulau Pinang.

"Kita meminta kerajaan Persekutuan menyegerakan komponen yang belum lengkap diperlukan untuk membolehkan pelepasan 1,000 juta liter sehari (JLH) dari empangan ketika senario kecemasan melibatkan Sungai Muda dalam MDEP.

"Bagi SPRWTS pula, kita mengesyorkan agar pelaksanaan SPRWTS bagi Pulau Pinang dipercepatkan untuk meneroka sumber air mentah kedua selain Sungai Muda.

"Selain itu, kita juga akan menjalankan Kontingensi Bekalan Air 2030 (WCP 2030) bagi mempercepatkan pelaksanaan projek untuk memanfaatkan Sungai Kerian, Sungai Perai dan Empangan Mengkuang Yang Diperbesarkan (EMD) sebagai sumber air mentah tambahan untuk Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah, PBAPP juga memohon pihak terlibat agar mewujudkan amaran awal dalam rangkaian komunikasi kecemasan melibatkan semua organisasi utama di Pulau Pinang dan Kedah terlibat dalam aktiviti bekalan air dan pengairan yang berkaitan dengan Sungai Muda.

"PBAPP akan menubuhkan Pusat Pemantauan Strategik Sungai Muda (SMSMC) di Pulau Pinang untuk memantau sungai, setiap 24 jam setiap hari bagi memfokuskan kepada anomali yang boleh menjejaskan pengabstrakan air yang optimum di muka sauk Lahar Tiang.

"Dari segi paras air sungai, penurunan paras sungai sebanyak 0.5 meter akan mencetuskan penggera. Dari segi kekeruhan air sungai pula, bacaan 1,000 NTU (unit kekeruhan nephelometric) juga akan mencetuskan penggera," kata beliau lagi.

Dalam kejadian Mei lalu, puluhan ribu pengguna di tiga daerah iaitu di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS) dan kawasan selatan Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan air selama tiga hari.

Ia berikutan kejadian tidak diduga berlaku di Sungai Muda, Kedah menyebabkan paras air mentah di Muka Sauk Lahar Tiang PBAPP menurun ke bawah 1 meter iaitu hanya 0.4 meter yang mana, paras normal adalah melebihi 2 meter.

Kejadian itu berpunca daripada kerosakan mekanikal pada sensor automatik pada baraj Sungai Muda di Kedah.

Mengulas mengenai perkara itu, Pathmanathan berkata, kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP tidak dapat mengurangkan risiko kejadian daripada berulang kerana beberapa faktor antaranya Pulau Pinang hanya mempunyai satu sumber air mentah utama iaitu Sungai Muda.

"PBAPP mengabstrakkan air mentah daripada sungai di Lahar Tiang di Seberang Perai yang mana, sebahagian Sungai Muda terletak dalam wilayah Kedah. Kawasan tadahan air sungai ini (Kompleks Hutan Ulu Muda) juga terletak di Kedah, di luar bidang kuasa kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP.

"Faktor seterusnya adalah pembangunan sumber air mentah untuk Pulau Pinang adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan. Perkhidmatan bekalan air juga dikawal selia oleh kerajaan Persekutuan di bawah Akta Industri Bekalan Air 2006 (Akta 655) dan Akta SPAN 2006 (Akta 654)," katanya.

Beliau menambah, hanya kerajaan Persekutuan yang mempunyai dana, kuasa tadbir dan sumber untuk membolehkan projek penyaluran air mentah antara negeri seperti SPRWTS.

"Selain itu, MDEP ialah projek Persekutuan yang belum lengkap yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, dibiayai oleh geran Persekutuan RM1.2 bilion. Jelas sekali, kapasiti pengeluaran 300 JLH sedia ada daripada EMD tidak mencukupi.

"Pulau Pinang memerlukan pilihan sandaran 1,000 JLH yang berdaya maju apabila keadaan tidak menentu di Sungai Muda. Tanpa MDEP dan SPRWTS yang lengkap, rakyat Pulau Pinang akan menghadapi kesulitan apabila berlaku kejadian yang melibatkan Sungai Muda.

"Oleh itu, bagi pihak rakyat dan perniagaan Pulau Pinang, PBAPP merayu kepada kerajaan Persekutuan untuk campur tangan bagi mengurangkan risiko air di negeri ini secepat mungkin," katanya.