Tiga troli penuh barang luput tarikh, tin kemik

Dr Ismuni (kiri) ketika mengetuai pemeriksaan dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Penjualan barangan makanan sempena Perayaan Hari Natal dan Tahun Baru di salah sebuah pasar raya hari ini. - Foto Bernama

A
A
A

LABUAN - Serbuan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan mendapati banyak kedai termasuk pasar raya besar di sini masih lagi menjual barang makanan yang luput tarikh dan barangan di dalam tin atau kotak yang sudah kemik.

Jabatan itu merampas tiga troli penuh dengan barangan yang luput tarikh, di dalam bekas kemek dan label yang mengelirukan daripada sebuah pasar raya besar, sebakul coklat dengan pelbagai perisa dan jenama dari sebuah kedai bebas cukai serta beberapa kotak barangan daripada sebuah lagi pasar raya besar dan pasar raya yang beroperasi menjelang sambutan Krismas minggu depan.

Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari memberitahu wartawan bahawa barangan yang dirampas berjumlah 403 item termasuk susu segar dan keju dalam bekas kemik bernilai RM2,499.88.

Sebelum itu, beliau mengetuai pemeriksaan di sebuah pasar raya besar dan kedai coklat popular di Kompleks Ujana Kewangan di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 42 anggota penguatkuasaan dalam empat pasukan terlibat dalam operasi dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Dr Ismuni berkata, jabatan itu akan terus memantau kedai-kedai untuk mengelakkan pengguna daripada ditipu dengan promosi jualan produk makanan yang menghampiri tarikh luput.

Dr Ismuni (kiri) ketika mengetuai pemeriksaan dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Penjualan barangan makanan sempena Perayaan Hari Natal dan Tahun Baru di salah sebuah pasar raya hari ini. - Foto Bernama
Dr Ismuni (kiri) ketika mengetuai pemeriksaan dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Penjualan barangan makanan sempena Perayaan Hari Natal dan Tahun Baru di salah sebuah pasar raya hari ini. - Foto Bernama

Beliau mengingatkan, tin atau kotak yang kemik boleh menyebabkan lapisan logam di bahagian dalam bocor dan mencemarkan makanan di dalamnya serta mengakibatkan keracunan makanan.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap para pengguna lebih peka dan berhati-hati dalam memilih produk makanan. Mereka patut baca label dan melihat keadaan bungkusan sebelum membeli satu-satu produk," katanya.

Sementara itu, beliau mendedahkan sejumlah RM76,387 daripada RM115, 487 kompaun telah dikutip sejak 2014 sehingga setakat ini.

Dr Ismuni berkata, sekurang-kurangnya 48 kedai makan diarah tutup berikutan 933 pemeriksaan ke atas premis makanan sepanjang tahun ini.

“Kami juga melaksanakan sejumlah 24 operasi tahun ini melibatkan 318 premis (kedai, pasar raya dan pasar raya besar) dan kami merampas sejumlah 4,568 produk makanan daripada pelbagai jenis dan jenama bernilai RM13,383.00,” katanya. - Bernama