24 pembekal sertai Jualan Pasar Raya SIE F&B 2023

Peserta Program Jualan Pasar raya SIE (F&B) di Lulu Hypermarket Capsquare KL bergambar kenangan.
Peserta Program Jualan Pasar raya SIE (F&B) di Lulu Hypermarket Capsquare KL bergambar kenangan.
A
A
A

PROGRAM Jualan Pasar Raya Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) Makanan dan Minuman (F&B) anjuran Invest Selangor akan diteruskan selepas menempa kejayaan pada tahun lepas.

Ekspo itu membuka peluang usahawan F&B memasarkan produk mereka ke pasar raya yang mengambil bahagian.

Invest Selangor dalam satu kenyataan berkata, edisi lepas menyaksikan penglibatan dua pasar raya terkemuka, ST Rosyam Mart Sdn Bhd dan Lulu Group Retail Malaysia.

"Program telah berjaya memasukkan kesemua 118 SKU (unit penyimpanan stok) melibatkan 24 pembekal di pasar raya yang mengambil bahagian.

"Promosi produk terpilih telah diadakan di ST Rosyam Mart Sdn Bhd cawangan Seksyen 9, Shah Alam dan Lulu Hypermarket di Setia City Mall," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Invest Selangor berkata, edisi kali ini akan menampilkan penyertaan AEON CO (M) Berhad selain meneruskan usahasama dengan ST Rosyam Mart Sdn Bhd dan Lulu Group Retail Malaysia.

"Program melibatkan penyertaan 33 pembekal dengan 115 SKU.

"Lulu Group Retail Malaysia memilih 50 produk SKU daripada sepuluh pempamer, diikuti AEON CO (M) BHD dengan 35 SKU daripada tujuh pempamer manakala ST Rosyam mengambil produk daripada 16 pembekal," ujar kenyataan itu.

"Ketiga-tiga peruncit berkenaan memperkenalkan produk tersebut di ruang pameran sebelum dimasukkan ke rak pasar raya mereka," ujar kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari berkata, program tersebut diwujudkan bagi membantu usahawan meluaskan pasaran mereka melalui cawangan pasar raya terlibat.

Beliau menyasarkan untuk mengembangkan program tersebut ke lebih banyak pasar raya jenama antarabangsa dan tempatan.