X

Kindly register in order to view this article
!

Mohon dana kena jujur, tunjuk bukti sumbangan

Shahrul Ridzuan Abdullah
A
A

IPOH - Semua pihak terutamanya parti politik yang memohon bantuan dana daripada syarikat korporat dan kalangan usahawan perlu menampilkan bukti bahawa sumbangan itu sampai kepada golongan memerlukan.

Timbalan Pengerusi Unit Sukarelawan Bersatu Perak, Shahrul Ridzuan Abdullah berkata, perkara itu penting bagi mengelak salah guna peruntukan hingga menyebabkan syarikat terlibat tidak lagi berminat menyumbang.

"Kalau ikutkan memang banyak syarikat dan usahawan mahu bersama kerajaan negeri membantu rakyat menerusi program kebajikan.

"Malangnya ada kekangan menjadikan mereka kurang berminat, kemungkinan syarikat-syarikat ini risau bila kita minta dana tetapi disalurkan ke tempat lain dan disalah guna ke 'poket' sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kembali Ke Sekolah anjuran Bersatu Cawangan Jelapang yang turut dihadiri Ketua Bahagian Bersatu Batu Gajah, Mahader Ahmad Mohammad Ayob di sini semalam.

Dalam majlis berkenaan, seramai 100 kanak-kanak kalangan keluarga B40 dari sekitar cawangan Silibin menerima bantuan kelengkapan sekolah.

Bantuan berkenaan diperoleh menerusi sumbangan dua syarikat dengan jumlah keseluruhan lebih RM12,000.

Sebahagian penerima bantuan kelengkapan sekolah sempena Program Kembali Ke Sekolah anjuran Bersatu Cawangan Jelapang semalam.
Sebahagian penerima bantuan kelengkapan sekolah sempena Program Kembali Ke Sekolah anjuran Bersatu Cawangan Jelapang semalam.

Shahrul Ridzuan yang juga Ketua Bersatu Cawangan Jelapang berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama seumpama itu supaya bantuan sama dapat diperluas ke kawasan lain.

"Kebiasaannya bila kita ambil dana, kita akan hantar semula laporan kepada penyumbang termasuklah semua resit dan bil yang kita guna melalui duit itu, ini bagi memuaskan hati mereka dan seterusnya lebih aktif tampil membantu di program akan datang.

"Lagipun pengumpulan dana melalui sumbangan-sumbangan syarikat ini secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kita kepada dana kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, Mahader berkata, ia adalah pelaksanaan program Kembali ke Sekolah yang kedua bahagian itu selepas 58 penerima dari kawasan Batu Gajah.

"Kita akan terus gerakkan ahli agar lebih aktif dalam program kebajikan seperti ini, Bersatu Bahagian Batu Gajah kini memiliki keahlian ketiga tertinggi di Perak dengan hampir 2,000 ahli selepas Tambun dan Lumut," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!