Rafizi kekal bebas tuduhan dedah maklumat sulit NFC

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

PUTRAJAYA - Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli kekal bebas daripada pertuduhan mendedahkan butiran sulit perbankan berkaitan dengan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) selepas Pendakwa Raya menarik balik rayuan terhadap pembebasannya.

Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar memaklumkan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Yaacob Md Sam bahawa pihak pendakwaan juga menarik balik rayuan terhadap pembebasan bekas kerani bank, Johari Mohamad daripada pertuduhan bersubahat dengan Mohd Rafizi.

Beliau berkata, pihak pendakwaan memfailkan notis penarikan balik rayuan pada 9 Disember lepas.

“Oleh itu pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua rayuan,” katanya dan mahkamah membatalkan rayuan tersebut.

“Perintah lepas dan bebas yang diputuskan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Yaacob yang bersidang bersama-sama Hakim P Ravinthran dan Hakim Datuk Abu Bakar Jais.

Peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Mohd Rafizi mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan.

Mohd Rafizi, 43, dan Johari, 49, yang diwakili peguam Shahid Adli Kamarudin hadir di mahkamah.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 November lepas melepaskan dan membebaskan Mohd Rafizi dan Johari daripada pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), selepas membenarkan rayuan mereka untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 30 bulan dikenakan terhadap mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada 7 Februari 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam mendapati Mohd Rafizi bersalah atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita akhbar The Star, Erle Martin Carvalho.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya pada 7 Mac 2012.

Mohd Rafizi dituduh mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Turut disabitkan kesalahan adalah Johari yang didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA kerana bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama. - Bernama