Dedah maklumat perbankan punca wang dalam akaun berkurang

Gambar kecil: Kamarul Zaman
Gambar kecil: Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pendedahan maklumat perbankan kepada pihak yang tidak dikenali, dilihat sebagai antara punca menyebabkan kes wang berkurangan daripada akaun bank meningkat.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, sehingga Mei 2023 sebanyak 173 kes atau hampir tujuh kali ganda direkodkan berbanding hanya 26 kes dalam tempoh sama tahun 2022 lalu.

Katanya, jumlah kerugian yang dilaporkan juga meningkat kepada RM4.5 juta pada 2023 berbanding RM0.5 juta pada 2022. (peningkatan sebanyak RM3 juta).

“Kejadian kes wang berkurangan daripada akaun disebabkan dua faktor utama, yang pertama, mangsa menerima panggilan daripada suspek yang mengaku sebagai pegawai penguatkuaan atau pihak tertentu mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan jenayah dan akaun bank mangsa akan dibekukan.

“Suspek kemudiannya akan menawarkan khidmat membantu mangsa dan meminta mangsa memberikan atau mendedahkan maklumat perbankan sepeti nombor akaun bank termasuk CVC (Card Verification Code) atau CVV (Card Verification Value), username, password serta nombor OTP (One Time Password).

“Kedua, mangsa tertarik dengan perkhidmatan yang ditemui atas talian dan diarahkan untuk tekan link yang diberikan bagi tujuan pendaftaran dan/atau membuat pembayaran dengan mangsa memasukkan butiran perbankan masing-masing termasuk username, password serta nombor OTP melalui link (pautan) tersebut tanpa menyedarai maklumat berkenaan telah dihantar kepada pihak yang tidak sepatutnya,” katanya menerusi kenyataan media pada Isnin.

Tambah Kamarul Zaman, mangsa kemudiannya menyedari berlaku pengurangan wang dalam akaun bank mereka hanya setelah membuat semakan penyata akaun dan/atau menerima notifikasi melalui sms (khidmat pesanan ringkas) daripada pihak bank.

Justeru katanya, Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mendedahkan maklumat perbankan masing-masing kepada pihak yang tidak berkaitan.

“Selain itu, apabila ingin membuat sebarang pembayaran secara atas talian, diingatkan agar ia dibuat melalui laman web rasmi bank berkenaan dan bukanya melalui link yagn diberikan melalui sms atau aplikasi telefon.

“Polis Kontinjen Johor juga menyarankan orang ramai agar memuat turun aplikasi yang disediakan oleh bank masing-masing dikenali sebagai Secure Verification (One-Tap Approval) bagi meluluskan sesuatu transaksi perbankan atas talian dengan cara yang lebih selamat.

“Bagi maklumat lanjut berkaitan jenayah komersil, orang ramai boleh melayari laman rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain perkhidmatan atas talian yang disediakan oleh pihak polis,” katanya.