320 beg biji kopi hijau Brazil dirampas

Sebanyak 320 beg berisi biji kopi hijau Brazil dirampas Maqis Pulau Pinang di Pelabuhan Dermaga Air Dalam petang semalam.
Sebanyak 320 beg berisi biji kopi hijau Brazil dirampas Maqis Pulau Pinang di Pelabuhan Dermaga Air Dalam petang semalam.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebanyak 320 beg berisi biji kopi hijau, Green Coffee Arabica dari Brazil dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, biji kopi seberat 19,200 kilogram itu dibawa masuk tanpa dokumen sah di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD) di sini.

Menurutnya, kesemua biji kopi yang dianggarkan bernilai RM193,189 itu dimuatkan ke dalam kontena sebelum cuba dibawa masuk ke negara ini.

"Pengimportan Green Coffee Arabica dari Brazil perlu mempunyai permit import (IP) yang sah yang dikeluarkan oleh Maqis dan sijil fitosanitasi yang dikeluarkan oleh badan berkuasa negara asal.

"Mengimport produk hasil pertanian tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

Sebanyak 19,200 kilogram biji kopi hijau Brazil tanpa permit cuba dibawa masuk ke negara ini.
Sebanyak 19,200 kilogram biji kopi hijau Brazil tanpa permit cuba dibawa masuk ke negara ini.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zarina berkata, Maqis sentiasa komited dalam melaksanakan tugasan di semua pintu masuk negara dalam memastikan keluaran pertanian yang dibawa masuk mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti serta selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan: