'Banjir bukan masa berpesta'

Gambar hiasan. - Foto Bernama Gambar kecil: Datuk Hasanuddin Hassan.
Gambar hiasan. - Foto Bernama Gambar kecil: Datuk Hasanuddin Hassan.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengingatkan orang ramai agar tidak menjadikan musim tengkujuh di negeri ini sebagai pesta bersuka-ria hingga mengabaikan aspek keselamatan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, beliau sedia maklum terdapat beberapa lokasi tertentu di beberapa daerah di negeri ini yang dinaiki air dijadikan tapak pesta dan dikunjungi orang ramai untuk bermain banjir.

Menurutnya, pengunjung yang datang tidak mengira usia tua dan muda malah ada ibu bapa sendiri yang membawa anak kecil mereka bermain air tanpa menyedari bahaya yang akan dihadapi.

“Anak-anak kecil bermain di atas jalan yang ditenggelami air walaupun dalam keadaan cetek dan di bawah pengawasan ibu bapa tetapi arus deras boleh menyebabkan kanak-kanak hanyut hanya dalam sekelip mata.

“Jadi saya nasihatkan agar jangan hidupkan pesta air seperti ini kerana ketika ini bukan masanya, musim banjir bukan masa nak berpesta. Banjir caranya lain, pesta pula lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Akhbar Harian sempena musim tengkujuh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.

Hasanuddin turut menasihatkan peniaga terutama yang menjual makanan ketika musim tengkujuh agar menitikberatkan kebersihan bagi mengelak penyakit bawaan air.

Dalam pada itu, setakat jam 8 pagi tadi sebanyak 30 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di empat daerah iaitu di Pasir Mas, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Tumpat.

Artikel Berkaitan:

“PPS tersebut menempatkan sejumlah besar mangsa banjir iaitu 11,436 individu daripada 4,442 keluarga.

“Bacaan paras air di lapan sungai besar iaitu Sungai Galas, Lebir, Kusial di Jambatan Guillemard, sungai di Tambatan Diraja Kota Bharu, Sungai Jenob, Sungai Semerak dan Tangga Krai juga turun ke paras normal,” katanya.

Katanya, beliau turut meminta seluruh penduduk supaya terus berwaspada dan berjaga terutama di daerah Tumpat yang dibimbangi akan dilanda banjir termenung selama dua minggu berikutan air akan turun ke kawasan di daerah itu berdasarkan trend terdahulu.