Hak milik kekal tanah: Jangan cabul Perlembagaan

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - UMNO Perak mengingat kerajaan negeri supaya tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan memberikan hak milik tanah 999 tahun kepada kampung baharu.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, pemberian hak milik kekal tanah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-73.

Katanya, mesyuarat tersebut memutuskan bahawa tempoh pajakan bagi setiap kampung baharu tidak boleh melebihi 99 tahun di bawah Seksyen 76(aa) (iii) Kanun Tanah Negara 1965.

“Menteri besar hendaklah bertindak mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan serta mematuhi ketetapan Kanun Tanah Negara bagi memastikan kestabilan negeri ini.

"Jangan hanya kerana permainan serta kepentingan politik, kerajaan negeri sanggup mencabul Perlembagaan dan melanggar prinsip perundangan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai desakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming pada Konvensyen DAP Perak baru-baru ini supaya kerajaan negeri menyegerakan janji pemberian hak milik kekal tanah kampung baharu menjelang Tahun Baharu Cina.

Saarani berkata, tindakan Kor Ming menayangkan klip video yang memaparkan Ahmad Faizal berucap membacakan tawaran PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan satu ucapan selepas PRU14 ketika sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak jelas menunjukkan DAP sedang menekan Menteri Besar Perak.

Katanya, tindakan memaksa kerajaan negeri menunaikan janji pemberian hak milik kekal kampung baharu itu jelas menunjukkan DAP sebuah parti perkauman yang hanya mementingkan satu kaum dan menidakkan hak kaum lain.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ahmad Faizal ketika mengulas mengenai isu tersebut berkata, perkara yang dibangkitkan oleh Kor Ming pada konvensyen tersebut akan dibincangkan bersama di dalam Majlis Pengerusi Pakatan Harapan.