Memang ada gerakan jatuhkan kerajaan negeri - Saarani

Saarani (duduk dua dari kanan) bersama ADUN-ADUN kerajaan selepas mengadakan perjumpaan di sebuah hotel pada Khamis.
Saarani (duduk dua dari kanan) bersama ADUN-ADUN kerajaan selepas mengadakan perjumpaan di sebuah hotel pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui terdapat gerakan daripada pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan negeri Perak.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh itu, gerakan tersebut sedang berusaha untuk memujuk sekurang-kurangnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menyokong pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) bagi memperoleh majoriti mudah.

"Dalam pengetahuan kita, memang ada gerakan itu dan bukan setakat mereka mengeluarkan kenyataan akhbar tapi memang ada gerakan itu. Nampaknya mereka tak berpuas hati dengan keputusan PRN (Pilihan Raya Negeri) sebab mereka mengharapkan jika PN dapat merampas enam negeri bermakna dia nak gambarkan satu gelombang baharu penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan tetapi ia tak berlaku.

"Sebab itu kita berjumpa beramai-ramai sebab kita tak mahu ada dalam kalangan 33 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) ini saling syak wasangka di antara satu sama lain sebab mereka (ADUN kerajaan) setia dengan Kerajaan Perpaduan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ADUN-ADUN Kerajaan Perpaduan negeri Perak di sebuah hotel pada Khamis.

Sementara itu, Saarani berkata, kesemua ADUN kerajaan sebulat suara menyatakan komitmen untuk terus berdiri teguh mempertahankan kestabilan dalam kerajaan.

Menurutnya, tindakan berterusan memainkan sentimen dan polemik politik tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat kepada rakyat serta negeri, malah boleh menggugat kepercayaan para pelabur sekali gus mengundang risiko kepada perjalanan pembangunan negeri yang sedang pesat berkembang.

"Jika semua pihak termasuk pembangkang ikhlas untuk melihat kestabilan terus wujud bagi menjamin keyakinan pelabur dan kelangsungan pembangunan negeri, maka ia perlu diterjemahkan atas keinginan untuk memastikan segala perancangan baik yang sedang dilaksanakan dapat sama-sama dijayakan demi manfaat rakyat.

"Dalam konteks ini, perlu juga ditegaskan, tindakan menimbulkan persepsi jahat termasuk memomokkan fitnah kononnya Islam dan orang Melayu di negeri ini sedang diambang kemusnahan sewajarnya dihentikan kerana realitinya, kepimpinan kerajaan secara kolektif komited mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada pertemuan tersebut seramai empat ADUN kerajaan tidak hadir atas urusan kerja iaitu ADUN Kepayang, Nga Kor Ming; ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; ADUN Jalong, Loh Sze Yee dan ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Turut hadir pada perjumpaan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.