'Cubaan tegakkan semula ideologi komunis'

Kok Seong dan Ramlah Adam
Kok Seong dan Ramlah Adam
A
A
A

SHAH ALAM - Perhimpunan hampir 400 individu termasuk bekas ahli kumpulan Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah dewan di Kajang kelmarin dilihat cubaan mengembalikan semula ideologi komunis di negara ini.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong berkata, penganjur itu juga disifatkan sengaja mencetuskan provokasi dan suasana tidak menentu lebih-lebih lagi isu abu mayat bekas pemimpin PKM, Chin Peng belum reda.

“Satu demi satu tindakan mereka cuba memecahbelahkan perpaduan kaum yang kini semakin ampuh selain boleh mencetuskan konflik terbuka kerana jelas ada kaum lain merasa hak mereka dicabuli.

“Tidak mustahil ia satu percubaan untuk menegakkan semula fahaman PKM di negara ini sebab manusia sama hitam, hati lain-lain,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Selesai segera siasatan pertemuan ahli PKM di Kajang

Kok Seong berkata, tindakan berkenaan adalah keterlaluan diibaratkan ‘cacing naik ke mata’ kerana seolah-olah mahu menimbulkan ketegangan kaum di negara ini.

Sehubungan itu, Kok Seong turut meminta pihak berkuasa menangani perkara berkenaan dengan serius.

“Semua pihak juga perlu berhati-hati dalam menjaga sensitiviti kaum,” katanya.

Sementara itu, pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, senjata utama komunis ketika ini bukan terletak pada senjata, sebaliknya pada pemikiran dan dakyah-dakyah yang disampaikan secara halus.

Artikel Berkaitan:

“Selepas termeterai Perjanjian Damai Hat Yai itu, PKM hanya letak senjata, bukan membubarkan kumpulan pengganas itu. Jadi ideologi mereka masih wujud hingga ke hari ini.

“Cubaan untuk hidupkan semula (ideologi) itu masih ada. Sebelum ini mereka langgar undang-undang dengan membawa pulang abu mayat Chin Peng, kali ini perhimpunan pula," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengembalikan gerakan itu supaya tidak melakukannya kerana menyifatkan komunis tidak akan diterima sehingga bila-bila di negara ini.

“Perbuatan ini satu pengkhianatan, bukan sahaja penderhakaan kepada negara bahkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berkorban demi menegakkan kenegaraan Malaysia,” tegasnya.