Koperal polis didakwa terima rasuah RM500

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang anggota polis berpangkat koperal hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM500 pada November 2014.

Tertuduh Mohd Sukri A.Wahab, 50, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Murtazadi Amran selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan, dia yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap didakwa menerima suapan untuk diri sendiri sebanyak RM500 daripada Zamri Mat Saman pada 3.08 petang, 19 Nov 2014.

Ia sebagai dorongan supaya tertuduh tidak melaksanakan suatu perbuatan rasmi berhubung dengan hal ehwal badan awamnya itu agar tidak menahan kereta penarik minyak yang disyaki menyeludup minyak dari gudang milik Zamri itu ke Thailand.

Sehubungan itu, Mohd Sukri telah dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Mohd Sukri boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda RM10,000.

Bagaimanapun, tertuduh mempunyai pertuduhan pilihan iaitu dia didakwa menerima wang sebanyak RM500 untuk diri sendiri dengan tiada balasan daripada Zamri yang Mohd Sukri ketahui terdapat perhubungan dengan kerja rasminya.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Februari untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Penguasa Kanan SPRM Kedah Syahrul Khuzaini Amiruddin manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.