Lans koperal didakwa terima rasuah RM700

Seorang anggota polis berpangkat lans koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM700, enam tahun lalu.
Seorang anggota polis berpangkat lans koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM700, enam tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM700, enam tahun lalu.

Mohd Elfie Faizal Che Min, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa tiga anak yang bertugas di Balai Polis Pokok Assam, Taiping itu didakwa meminta suapan wang tunai RM300 daripada seorang individu.

Suapan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas lelaki terbabit yang menjalankan perniagaan barang lusuh dengan lesen yang telah tamat tempoh.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam Pejabat Siyian Trading di Lorong Perusahaan Pengkalan 1, Taman Perindustrian Pengkalan di Taiping pada jam 3.40 petang, 17 Mei 2017.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara rasuah memperoleh suapan iaitu wang tunai RM300 daripada individu serupa di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan bagi kesalahan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki yang telah berkhidmat selama 15 tahun dengan pasukan polis itu didakwa menerima suapan wang tunai RM400 daripada lelaki sama melalui seorang lelaki lain untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat berkenaan kerana gagal mengemukakan lesen perniagaan barang lusuh.

Kesalahan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 itu dilakukan di Pejabat Siyian Trading pada jam 5.30 petang, 4 April 2017.

Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Shahidah Muslimah Roslan memohon jumlah ikat jamin dikurangkan kepada RM3,000 dengan alasan menanggung anak yang masih bersekolah serta ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan semula kes.