1,200 guni beras tidak lulus Kastam dirampas

Gambar hiasan - Foto internet
Gambar hiasan - Foto internet
A
A
A

SIBU - Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sibu Sarawak merampas 1,200 guni beras import di satu kawasan terbuka di Jalan Hulu Lanang di sini pada 10 pagi semalam.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha dalam satu kenyataan di sini berkata, rampasan beras putih Thai dengan anggaran nilai dan duti rampasan RM258,000 dibuat dalam satu serbuan hasil maklumat risikan jabatan itu.

"Lokasi telah dikenal pasti sebagai tempat penyimpanan sementara beras yang tidak diluluskan Kastam sebelum ianya dihantar kepada pengedar.

"Modus operandi ini ialah bagi mengelak individu atau pengimport sebenar ditahan bila mana pihak penguatkuasa membuat tangkapan dan serbuan," katanya.

Menurut beliau, beras terbabit disimpan dalam tiga unit kontena enam meter panjang.

Sharifah Halimah berkata, penyeludupan beras import kerap berlaku di mana-mana termasuk di Sarawak dan dipercayai aktif disebabkan permintaan tinggi bagi beras import atas faktor harga.

"Beras yang dibawa masuk secara tidak sah adalah lebih murah berbanding dengan harga yang ada di pasaran walaupun kualiti yang sama," katanya.

Kontena beras itu dibawa ke stor penguatkuasaan Sibu untuk tindakan siasatan bagi mengesan pemilik dagangan itu.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 di mana jika didapati bersalah, individu terlibat akan dikenakan denda 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 ataupun penjara antara enam bulan dan lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihaknya menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran. - Bernama