SPRM akui silap cadang tindakan tatatertib ahli PKR

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui terdapat kekhilafan dilakukan oleh pihaknya yang mencadangkan tindakan tatatertib ke atas dua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas dakwaan melanggar kod etika parti berkenan sehingga menyaksikan dua ahlinya dipecat daripada parti itu semalam.

Memetik laporan Malaysiakini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, mengikut garis panduan tatatertib SPRM, laporan salah laku hanya boleh dihantar kepada agensi dan kementerian kerajaan Persekutuan atau negeri.

“Ia tidak tertakluk kepada mana-mana parti politik. Bukan menjadi polisi kepada SPRM untuk membuat laporan sedemikian kepada mana-mana parti politik berhubung salah laku anggotanya.

“SPRM mengakui terdapat kekhilafan yang dilakukan oleh Ketua Cawangan Laporan SPRM menerusi sepucuk surat kepada parti berkenaan yang mencadangkan tindakan tatatertib kerana melanggar kod etika parti berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, dua ahli PKR Pahang dipecat berkuat kuasa serta-merta selepas dipercayai terbabit dengan kes rasuah dan suapan ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

Individu terbabit ialah Ketua PKR Cabang Bera yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid dan seorang lagi ahli, Ismail Dulhadi.

Zakaria ialah Setiausaha Politik di Kementerian Kerja Raya ketika kesalahan itu dilakukan.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim pada sidang akhbar selepas mesyuarat bulanan PKR semalam mendedahkan, pihaknya menerima sepucuk surat daripada SPRM bertarikh 23 Oktober lalu berhubung salah laku itu.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Azam berkata, SPRM akan menghantar surat pemakluman ini kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib PKR untuk diperjelaskan kekhilafan itu agar tidak timbul salah faham pada masa akan datang.