Sokong tender terus kepada Nafas

Mohd Ridzwan (duduk tengah) bersama Ahli Jemaah Pengarah Peladang Muda Kedah Perlis dalam satu sidang media malam tadi.
Mohd Ridzwan (duduk tengah) bersama Ahli Jemaah Pengarah Peladang Muda Kedah Perlis dalam satu sidang media malam tadi.
A
A
A

GURUN - Ahli Jemaah Pengarah Peladang Muda Kedah Perlis menyokong penuh pemberian tender terus kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (Nafas) seperti amalan yang dilakukan sejak 22 tahun lalu.

Wakilnya, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad berkata, pihaknya berharap kerajaan tidak akan melayan gesaan politik pembangkang yang didakwa mempunyai kepentingan apabila membabitkan isu Nafas yang dianggotai lebih 900,000 ahli terdiri daripada peladang yang memiliki saham dalam pertubuhan itu.

"Tidak perlu tunduk terhadap sabotaj mana-mana pihak atau mainan politik sehingga menjejaskan pendapatan dan manfaat ahli.

"Kita mahu siasatan jelas siapa yang bertanggungjawab mencetuskan isu membabitkan peladang ini," katanya kepada media di Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd malam kelmarin.

Beliau menjelaskan, Nafas bukan sebuah syarikat berasaskan keuntungan tetapi menjaga kebajikan ahli melalui Tabung Kumpulan Wang Nafas selain pengeluaran zakat hampir RM10 ke RM12 juta setahun.

"Kalau tender ini kita beri kepada individu atau syarikat tertentu, kekayaan akan dinikmati pihak berkenaan tetapi tidak mampu melindungi nasib peladang.

"Kita juga ingin membela nasib lebih kurang 1,000 pekerja buat masa ini. Jangan kita hancurkan sekelip mata apa yang telah dibangunkan sejak dahulu hanya kerana mainan politik pembangkang," katanya.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempertikaikan tiga kontrak membabitkan padi bernilai lebih RM1 bilion dibatalkan selepas Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dikatakan mahu menganugerahkan projek tersebut kepada Nafas secara rundingan terus.

Artikel Berkaitan: