Insiden pengadil cedera imbas kontroversi 5 tahun lalu

Noor Azriel dipapah keluar selepas mengalami kecederaan pada pergelangan kaki kanan ketika mengadili perlawanan di antara Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak pada malam Sabtu.
Noor Azriel dipapah keluar selepas mengalami kecederaan pada pergelangan kaki kanan ketika mengadili perlawanan di antara Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak pada malam Sabtu.
A
A
A

INSIDEN kecederaan dialami pengadil ketika perlawanan Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak di sini pada Sabtu mengimbau kejadian seumpamanya lima tahun lalu.

Dalam perlawanan malam tadi, Noor Azriel Baharudin terpaksa menghentikan perlawanan pada minit ke-72 untuk menerima rawatan kerana mengalami kecederaan pada pergelangan kaki kanan.

Perlawanan tertangguh kira-kira tiga minit sebelum beliau dipapah keluar padang oleh pegawai perubatan dan pemain Selangor FC, Brendan Gan.

Keadaan itu memaksa pengadil keempat, Mohd Azizan Saat Ariffin masuk menggantikan Noor Azriel untuk meneruskan perlawanan yang berbaki kira-kira 15 minit.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan memihak kepada Selangor FC selepas membenam Perak 4-0.

Situasi itu mengingatkan peminat bola sepak mengenai kejadian hampir sama di Stadium Perak di sini pada 9 Februari 2019 apabila pengadil perlawanan ketika itu, Hamdan Awang mengalami kekejangan otot pada minit ke-67 dalam perlawanan di antara Perak dan Kedah.

Bagaimanapun pertukaran pengadil mencetuskan kontroversi apabila penggantian pengadil keempat dibantah ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin kerana pengadil berkenaan berasal dari Perak.

Disebabkan situasi itu, perlawanan terpaksa dihentikan kira-kira 15 minit sebelum kedua-dua pasukan bersetuju agar pembantu pengadil pertama, Mohd Shahreen Omar mengadili perlawanan tersebut.