Buruk kalau orang tua bergaduh di lobi Parlimen

No Image Caption
A
A
A

MERAK Jalanan tidak tahan hendak ketawa apabila melihat dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tajuddin Rahman (Pasir Salak) dan Datuk Seri Ismail Mohd Said (Kuala Krau) bergaduh di lobi bangunan Parlimen kelmarin.

Melalui rakaman video yang tular di media sosial itu, kejadian bermula apabila Ismail memarahi Tajuddin dengan perkataan kesat di khalayak ramai sebelum diherdik kembali oleh Tajuddin.

Memang lucu apabila dua pemimpin politik veteran bergaduh. Macam budak-budak pun ada. Kejadian itu menyebabkan ramai yang tercengang. Kalau tak dileraikan oleh anggota keselamatan, mahu bertumbuk juga rasanya.

Mereka bertikam lidah sambil menghamburkan kata-kata makian bodoh, bangang dan 'stupid' antara sama lain.

Bergaduh atau bertikam lidah di dalam Dewan Rakyat memang biasa akibat perbezaan pendapat dan sebagainya. Yang menjadi luar biasa, apabila melibatkan dua pemimpin daripada parti yang sama.

Bagaimanapun, kedua-duanya menunjukkan mereka berhati besar dan bersifat matang apabila berbaik semula selepas kejadian itu. Kedua-duanya saling bercium pipi sebagai tanda berdamai.

Di Malaysia, bergaduh pun setakat itu saja. Tidak sampai baling kerusi atau panjat meja seperti di Hong Kong atau adegan tarik-menarik rambut. Dah bertukar jadi macam gelanggang sarkas!

Sebagai figura awam, pemimpin politik perlu menjaga tingkah laku dan pertuturan kerana segala tindakan mereka diperhatikan. Jika mereka sendiri tidak boleh mengawal emosi, bagaimana mereka hendak mengharapkan rakyat menghormati mereka?

Artikel Berkaitan:

Tambahan pula, dalam ucapan mereka sering menekankan konsep keharmonian dalam masyarakat, integriti, adab sopan dan sebagainya. Tapi bila kena batang hidung sendiri, lain pula jadinya.

Merak Jalanan berharap insiden seumpama itu tidak berulang. Konflik yang berlaku agak memalukan tetapi mungkin mereka berdua akan menjadi lebih akrab selepas ini. Siapa tahu?