Hati keras pembawa petaka kepada ummah: Mufti

Zulkifli - FOTO ZAHID IZZANI
Zulkifli - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

SEPANG - Hati keras pembawa petaka kepada ummah kerana tiada lagi rasa rahmah dalam jiwa yang mati.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sifat itu mudah berjangkit dan akhirnya kasih sayang menjadi muflis dan surut.

Menurutnya, pada akhirnya umat Islam akan menjadi buih-buih bah tetapi tiada kekuatan.

"Cintakan dunia yang melampau dan takutkan kematian menjadi titik tolak umat Islam 'bankrup' akhlak sehingga tiada maruah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Lestari Amal Islami dan Model Rahmah Asia Tenggara sempena Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Perasmian penutup Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof serta Yang Dipertua Yayasan Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Ab Aziz.

Dr Mahathir (duduk, tengah) bersama Mujahid (duduk, lima dari kiri) dan Nik Omar (duduk, lima dari kanan) bersama para delegasi Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019. - FOTO ZAHID IZZANI
Dr Mahathir (duduk, tengah) bersama Mujahid (duduk, lima dari kiri) dan Nik Omar (duduk, lima dari kanan) bersama para delegasi Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019. - FOTO ZAHID IZZANI

Zulkifli berkata, isu kemiskinan, jenayah dan sosial yang berlaku pada masa kini seolah-olah tiada penyelesaian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, satu kajian secara mendalam terhadap sifat Rasulullah SAW perlu dilakukan untuk diterjemahkan di dalam masyarakat.

"Inilah cabaran terbesar kita bagaimana cara untuk 'import' akhlak Rasulullah SAW di dalam hati kita. (Langkah) ini memerlukan niat yang benar-benar ikhlas, jiwa yang mantap," katanya

Beliau berkata, ilmu sangat bijaksana kerana menuntut amalan dan apabila digabungkan kedua-duanya akan menjadi cahaya.

"Inilah kehidupan sebenar yang kita dambakan," katanya.

Beliau berkata, isu-isu yang dikemukakan oleh Yadim pada Multaqa Ulama Asia Tenggara harus dilihat dalam kerangka yang besar supaya resolusinya dapat dicapai dengan hikmah.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nilai akhlak, moral dan etika dalam kalangan umat Islam hari ini perlu diperkukuhkan kembali.

Anwar (tengah) berkongsi pandangannya ketika Bicara Khas: Ilmuan Islam dan Visi Nahdah Asia Tenggara sempena Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di MHCC KLIA, Sepang semalam. - FOTO ZAHID IZZANI
Anwar (tengah) berkongsi pandangannya ketika Bicara Khas: Ilmuan Islam dan Visi Nahdah Asia Tenggara sempena Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di MHCC KLIA, Sepang semalam. - FOTO ZAHID IZZANI

Katanya, kesemua aspek itu sangat penting dalam membentuk umat Islam yang dihormati dan bebas daripada gejala tidak sihat termasuk rasuah.

"Cabaran kita bukan sahaja untuk menjelaskan isu yang dihadapi rakyat termasuk dadah tetapi masalah rasuah yang menjalar sehingga menghakis keyakinan dan perbuatan sahsiah keperibadian itu sendiri.

"Dalam fahaman saya, di antara permasalahan terbesar dihadapi umat ialah ‘poor governance’ yang menyebabkan seluruh sistem itu longgar dan menghakis keyakinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Bicara Khas: Ilmuan Islam dan Visi Nahdah Asia Tenggara..

Bagaimanapun, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson tetap yakin Yadim akan memainkan peranan penting dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi nilai-nilai penting bagi umat Islam itu melalui pelbagai dakwah yang dilaksanakan.