'Tiada lagi amaran' - Ayob Khan

Ayob Khan(tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur antara Datuk Abu Samah Mohd Noor (kiri) dan Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (kanan) hari ini. - Foto Bernama
Ayob Khan(tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur antara Datuk Abu Samah Mohd Noor (kiri) dan Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (kanan) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada lagi amaran daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman terhadap Ketua Polis Daerah yang didapati gagal menangani aktiviti perjudian dalam di daerah masing-masing.

Pengarahnya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Ketua Polis Daerah telah menandatangani aku janji untuk memastikan tiada aktiviti perjudian haram di daerah masing-masing.

"Janganlah aku janji itu dianggap sebagai satu kertas tisu yang tiada nilai, maka tiada lagi amaran akan dikeluarkan...kita akan ambil tindakan (terhadap mereka yang gagal menangani perjudian dalam talian),” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur antara Datuk Abu Samah Mohd Noor (kiri) dan Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (kanan)

Ayob Khan hadir menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur baharu Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain dengan Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abu Samah Mohd Noor.

Ayob Khan berkata, beliau ada menerima maklumat bahawa ada dalam kalangan Ketua Polis Daerah di Kuala Lumpur tidak berpuas hati apabila pasukan khas JSJ Bukit Aman untuk mengambil tindakan ke atas premis judi dalam talian.

"Sepatutnya Ketua Polis Daerah perlu berpegang teguh terhadap aku janji tersebut. Setiap tindakan dan tingkah laku kita akan disoal dan diperiksa bukan sekadar di dunia malah di akhirat," tegasnya.

Ayob Khan berkata, kerjasama antara polis, pihak berkuasa tempatan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga penting dalam mengekang perjudian dalam talian.

“Saya menerima aduan daripada masyarakat bahawa premis perjudian masih beroperasi walaupun sudah diserbu, namun TNB akan mengambil tindakan segera memotong bekalan elektrik ke premis itu setiap kali operasi bersepadu dilaksanakan, katanya.

Beliau berkata, JSJ Bukit Aman telah menubuhkan pasukan khas bagi menangani kegiatan jenayah terutamanya perjudian dalam talian.

“Pasukan khas akan melaksanakan operasi dan serbuan secara mengejut berdasarkan maklumat yang diterima melalui talian hotline," ujarnya.