ESSCom keluar senarai 18 individu dikehendaki

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) hari ini mengeluarkan senarai nama serta gambar terkini 18 lelaki warga asing yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam beberapa jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Komander ESSCom, Deputi Superintendan Datuk Hazani Ghazali berkata, senarai itu turut menyenaraikan tujuh individu terbaharu dan kesemua 18 lelaki tersebut dikehendaki bagi membantu ESSCom menyelesaikan beberapa isu jenayah rentas sempadan.

Katanya, tujuh individu terbaharu yang dikehendaki itu adalah Salip Mura Kayawan, Sibih Pisih, Titing Alihasan@Iyot Panday, Roger Saji, Long Sahirin, Jul Aksan Abdurajan@Halimaw dan Ben Tatoh.

"Setelah kita melakukan pengemaskinian dan penyiasatan terbaharu termasuk mendapatkan pengesahan daripada pasukan keselamatan Filipina, 18 individu sebagai dikehendaki disenaraikan kerana terbabit serta aktif merancang beberapa jenayah rentas sempadan sepanjang tahun lepas di ESSZone, selain masih belum ditahan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Antara senarai lain dikehendaki adalah Hatib Hajan@Sawadjaan, Apo Mike@Majan Sahidjuan, Idang Susukan@Abu Jihad, Al Munjir Yadah, Raden Abuh, Marajan@Manajan Asiri, Sangbas@Anjang, Hamsan Pakkan@Black Cobra, Sabri Madrasul@Salip Jul, Julajun Hasan dan Tampi@Bunju.

Dalam pada itu, Hazani berkata, sejak 2016, ESSCom menyenaraikan 45 individu dikehendaki dan daripada jumlah tersebut seramai 29 individu dikeluarkan daripada senarai dikehendaki disebabkan telah ditembak mati atau menyerah diri kepada pihak berkuasa Filipina.

Sehubungan itu, Hazani meminta orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat kepada pasukan keselamatan dan ESSCom bagi mengesan kedudukan penjenayah terbabit termasuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan individu yang disenaraikan di atas, boleh menghubungi Bilik Gerakan ESSCom di talian 089-863181 atau WhatsApp 019-230 5909 atau ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya," katanya lagi. - Bernama

Artikel Berkaitan: