'Bincang projek di pejabat menteri bukan kediaman rasmi'- Najib

Najib- Foto: Bernama
Najib- Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen sepatutnya mengadakan mesyuarat di pejabat menteri berkaitan bukannya di kediaman mereka sekiranya mahu membincangkan hal berkaitan projek di kawasan mereka.

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, apabila mesyuarat dijalankan di rumah dan pada waktu tengah malam ia pastinya menimbulkan banyak prasangka.

“Diberi alasan tertentu mengapa dibuat (pertemuan itu) tapi kalau ada apa-apa pertemuan, sekurang-kurangnya patut diadakan di pejabat, bukan di rumah.

“Kalau buat di rumah, tengah malam, ia membawa pelbagai interpretasi tapi kalau nak bincang tentang projek sepatutnya dibuat di pejabat dan dimaklumkan kepada whip parti atau ketua pembangkang,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas perjumpaan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kediaman rasminya di Presint 10, Putrajaya malam tadi.

Hari ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pertemuan beberapa Ahli Parlimen UMNO dengan Mohamed Azmin malam tadi hanya membincangkan projek kerajaan.

Menurutnya, beliau tidak mendengar ada cubaan untuk menubuhkan parti baharu sebaliknya pertemuan berkisar kepada penyaluran projek di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Najib berkata, Jawatankuasa Disiplin UMNO perlu menyiasat pertemuan yang berlaku pada malam tadi.

Artikel Berkaitan:

“Soal apa yang berlaku malam tadi perlulah disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin seperti mana yang telah diumumkan presiden parti supaya apa-apa keputusan yang patut dibuat parti, akan dibuat.

“Ini kerana kita mesti jaga kesepaduan parti, disiplin parti dan apa-apa tindakan yang kita lakukan mestilah bersifat kepartian. Inilah soal berparti, kita mesti ada semangat berparti.

“Tapi apa-apa pun saya tidak mahu mendahului siasatan Jawatankuasa Disiplin,” katanya.

Tengah hari tadi, Ahmad Zahid menegaskan beliau bersetuju jawatankuasa disiplin mengambil tindakan terhadap semua Ahli Parlimen BN yang hadir dalam pertemuan tersebut.

Menurutnya, tindakan perlu diambil kerana pertemuan itu menimbulkan perasaan tidak senang di peringkat akar umbi dan rakyat yang kembali menyokong UMNO.

Sinar Harian melaporkan beberapa Ahli Parlimen melakukan pertemuan dengan Mohamed Azmin di kediaman rasminya malam tadi.

Wakil rakyat berkenaan dipercayai berada di situ sejak jam 7 malam sebelum beransur-ansur meninggalkan kediaman Ahli Parlimen Gombak itu mulai 11 malam dengan yang terakhir dilihat keluar ialah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Antara Ahli Parlimen BN yang dilihat keluar ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid; Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad; Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib; Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang turut hadir ketika diminta mengulas lanjut mendakwa tiada apa-apa yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.

Turut dilihat hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar.

ARTIKEL BERKAITAN Mesyuarat biasa, tiada perkara luar biasa: Azmin